MBJB kembiri 200 anjing liar
JOHOR BAHRU - Susulan kejayaan program kembiri terhadap 219 anjing liar Oktober lalu, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sekali lagi menganjurkan program sedemikian, pada Selasa.
Menurut Pengarah Kesihatan MBJB, Dr Aslinda Salikin, program yang diadakan buat kali kedua itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Social Hero Foundation (SHF) dan Vet Partners Malaysia.
Malah katanya, seramai 21 doktor dan 16 jururawat veterinar termasuk wakil dari SHF dan 25 anggota MBJB terlibat secara langsung dalam program tersebut.
"Program kembiri anjing liar ini secara keseluruhannya merupakan siri kedua rentetan daripada program yang telah dilaksanakan pada Oktober lalu di mana sebanyak 219 ekor anjing telah dikembirikan dengan jayanya.
"Pada program kali ini, sebanyak 200 ekor anjing dikembirikan oleh doktor dan jururawat yang pakar dalam tugasan tersebut.
"Kesemua anjing liar ini ditangkap di beberapa kawasan perumahan dan perindustrian susulan aduan awam yang diterima menerusi pelbagai platform aduan sama ada di media sosial dan aplikasi WhatsApp," katanya sempena program berkenaan yang diadakan di Dewan Raya Taman Perling di sini pada Selasa.
Hadir sama, koordinator program berkenaan dari SHF, Delaney Rodriguez.
Pada program berkenaan, kesemua anjing tersebut turut diberikan ubat kutu serta vaksin rabies sebelum diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat bagi tujuan penjagaan.
Sementara itu, Aslinda berkata, MBJB bersama SHF dan Vet Partners Malaysia bakal melaksanakan empat lagi siri Program Kembiri Anjing Liar pada tahun ini dengan sasaran keseluruhan sebanyak 1,000 ekor anjing liar dikembirikan.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima tajaan berjumlah RM142,000 melibatkan makanan anjing, ubat kutu serta vaksin daripada pihak swasta bagi menyokong program berkenaan.
"Diharapkan kerjasama ini dapat membantu MBJB bagi mengurus dan mengawal populasi anjing liar di kawasan MBJB secara lebih efisien, berperikemanusiaan dan lestari," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!