Bot langgar syarat lesen, gaji pekerja asing ditahan

Maritim Malaysia menahan sebuah VNT di Sungai Janggut, Klang, Selangor kerana menangkap ikan di luar kawasan dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen pada Selasa. Foto Maritim Malaysia
Maritim Malaysia menahan sebuah VNT di Sungai Janggut, Klang, Selangor kerana menangkap ikan di luar kawasan dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen pada Selasa. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan tempatan Kelas B1 kerana berada di kedudukan 2.55 batu nautika barat Sungai Janggut, di sini pada awal pagi Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan jam 3.25 pagi oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

Beliau berkata, semasa rondaan dilakukan, pihaknya telah mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kurang lapan batu nautika dari daratan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berusia 41 tahun.

"Selain itu, dia dibantu oleh tiga awak-awak lain iaitu seorang warga tempatan berumur 38 tahun dan dua lagi warga Myanmar masing-masing berusia 45 dan 33 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dua awak-awak warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia kerana bekerja di atas bot permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Foto Maritim Malaysia.

Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua kru warga asing tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan.

Kata beliau, mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram, sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah lapan batu nautika, selain pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Seorang anggota Maritim Malaysia menunjukkan hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram, selepas sebuah bot ditahan pasukan penguatkuasaan itu di Sungai Janggut, Klang, Selangor pada Selasa. Foto Maritim Malaysia

"Pihak kami telah banyak menerima aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan 'tarik tepi'.

"Sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan di bawah lima batu nautika," ujarnya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perlanggaran syarat sah lesen yang dibenarkan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya perairan Selangor.

"Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!