Australia keluar amaran keselamatan selepas angka kematian akibat lemas cecah 44
SYDNEY, 7 - Pengawal pantai Australia mengeluarkan amaran keselamatan susulan peningkatan kes lemas di seluruh negara itu pada awal musim panas, lapor Xinhua.
Menurut data Persatuan Penyelamat Diraja (RLSS), sebuah organisasi pendidikan utama keselamatan air, pendidikan renang dan penyelamat di Australia, seramai 44 individu dilaporkan lemas sejak musim panas bermula pada 1 Disember lepas.
Angka itu menyamai jumlah kes lemas bagi tempoh sama pada 2023 dan 2024 dan sedikit melebihi purata lima tahun iaitu 41 kes lemas bagi tempoh berkenaan.
Daripada 44 kes lemas itu, 13 daripadanya berlaku antara Krismas pada 25 Disember dan Hari Tahun Baharu pada 1 Januari.
William Koon, pengurus strategi pencegahan lemas nasional RLSS berkata, pada Selasa kemahiran berenang di Australia semakin berkurangan akibat halangan kewangan serta kekurangan akses kepada kolam renang tempatan.
Beliau memberitahu akhbar News Corp Australia strategi nasional baharu diperlukan untuk memastikan kanak-kanak Australia memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bertahan di dalam air.
Komander cawangan RLSS di negeri Victoria Kane Treloar menggesa semua yang merancang untuk berenang sepanjang musim panas agar melakukannya di pantai yang diawasi pengawal pantai dan menjaga keselamatan sesama sendiri.
Sekurang-kurangnya lima mangsa lemas sejak 1 Disember berusia di bawah 18 tahun, menurut RLSS.
Daripada jumlah insiden itu, 12 berlaku di New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia manakala 11 di Queensland. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!