Titah Adendum: AMK akan buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) seluruh negara akan membuat laporan polis terhadap beberapa individu berhubung kenyataan tidak berasas yang mendakwa kerajaan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum.
AMK dalam satu kenyataan berkata, laporan tersebut akan dibuat terhadap pemimpin pembangkang antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan S Subramaniam.
“AMK memandang perkara ini sebagai cubaan untuk mencemar reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia.
“Tindakan ini bagi memastikan fitnah sedemikian tidak dibiarkan berleluasa dan untuk melindungi integriti institusi negara,” katanya pada Selasa.
Terdahulu, Pas mendesak Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan ekoran terdapat unsur penyembunyian maklumat penting oleh kerajaan sebelum permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak difailkan di mahkamah.
Menurutnya, Mahkamah Rayuan pada Isnin telah membenarkan Najib memulakan prosiding kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.
Menurut AMK, dokumen Adendum yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Jabatan Penjara untuk memendekkan tempoh hukuman penjara kepada 23 Ogos 2028 serta mengurangkan jumlah denda kepada RM50 juta bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kerajaan melalui Jabatan Penjara hanya menjalankan tugas berdasarkan prosedur rasmi dan dokumen sah yang diterima daripada Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024.
“Apabila Pejabat Istana Pahang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Jabatan Peguam Negara membenarkan pembuktian dokumen tersebut di mahkamah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!