MAIS, JAIS akan bangunkan garis panduan lengkap penganjuran program agama
Abdul Aziz.
A
A
A
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia bagi memastikan program terbabit tidak dicemari perkara yang boleh menjejaskan akidah umat Islam, kedudukan agama dan keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menilai semula prosedur sedia ada berhubung perkara tersebut.
“MAIS mengambil perhatian kebimbangan dan keresahan masyarakat Islam di negeri ini berkenaan isu yang timbul daripada penganjuran festival tersebut.
“Saya menegaskan bahawa semua program keagamaan melibatkan aktiviti pengajaran berkaitan agama Islam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024, hukum syarak dan ketetapan pihak berkuasa agama.
“Jadi, MAIS bersama JAIS akan lebih giat membuat pemantauan bagi memastikan penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam menepati serta selari dengan undang-undang seterusnya memastikan kesucian agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, penganjuran festival berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Disember lalu mendapat kritikan segelintir pihak selepas penganjur menjemput pendakwah dari Indonesia, Gus Azmi.
Tindakan pendakwah muda itu yang terkenal dengan tabiat merokok termasuk di atas pentas dibimbangi memberi contoh tidak baik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi merokok difatwakan adalah haram di negara ini.
Susulan itu, difahamkan penganjur membuat ketetapan meneruskan festival tanpa penglibatan pendakwah berkenaan selepas meneliti pelbagai aspek.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, MAIS menerima laporan awal daripada Setiausaha Jawatankuasa Tauliah bahawa pihak penganjur telah mengemukakan satu permohonan tauliah atau kebenaran sementara pada 18 Disember lalu.
“Surat jawapan terhadap permohonan penganjur telah dikeluarkan MAIS pada 24 Disember. Surat ini antara lain turut menetapkan beberapa tindakan perlu dilaksanakan penganjur dalam program dicadangkan.
“Ketetapan ini dibuat untuk mengekang perkara-perkara yang meragukan dan boleh menggugat kedudukan agama Islam di negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menasihatkan semua penganjur program keagamaan merujuk kepada MAIS dan JAIS serta mematuhi undang-undang atau garis panduan ditetapkan.
“Ia untuk mengelak sebarang ruang yang boleh mencetuskan salah faham, pertikaian dan pelanggaran serta matlamat hukum syarak.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah dan orang ramai juga perlu sentiasa mematuhi undang-undang berkuat kuasa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!