Spider-Man bertunang diam-diam
LOS ANGELES - Pelakon bersama filem Spider-Man, Zendaya dilaporkan bertunang dengan Tom Holland, lapor media Amerika Syarikat selepas melihat wanita itu memakai sebentuk cincin berlian besar.
Laporan itu tular selepas Zendaya, 28, muncul di permaidani merah Golden Globe pada malam Ahad dengan menampakkan cincin berlian tersebut sehingga menimbulkan spekulasi hangat terhadap pasangan itu.
Akhbar atas talian, TMZ melaporkan pada Isnin bahawa Zendaya dan Tom telah bercinta sejak 2021 dan hubungan mereka kekal sehingga hari ini.
TMZ berkata, pelakon berasal dari Britain pernah berlutut 'dalam suasana penuh romantis' di salah sebuah rumah keluarga Zendaya di AS.
"Kami diberitahu Tom tidak membuat pengumuman besar mengenai pertunangan itu, ia bukan majlis pertunangan yang besar, tetapi ia dianggap romantik dan intim.
"Sumber kami mengatakan keluarga itu tiada di sana... ia hanyalah detik manis antara Tom dan Zendaya," katanya.
Pasangan itu, yang bertemu di set penggambaran 'Spider-Man: Homecoming' dianggap sebagai pasangan paling romantis di Hollywood, walaupun mereka sangat menjaga privasi masing-masing.
Difahamkan Tom tidak berada di acara Globes pada hari Ahad tetapi, Zendaya berada di sana sebagai calon untuk 'Challengers', filem cinta segi tiga yang berlatar belakangkan dunia tenis. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!