[VIDEO] Titah Adendum: Libatkan DAP tindakan keji, mainan politik ulangan Pas - Anthony
SHAH ALAM - Tindakan Pas mengaitkan DAP dalam isu Titah Adendum disifatkan sebagai keji dan mainan politik ulangan parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pas hanya pandai menyalahkan pihaknya dalam apa sahaja isu dengan slogan 'Semua Salah DAP'.
Malah, beliau menjelaskan, pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet tidak terlibat dalam titah berkenaan ekoran isu pengampunan merupakan urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.
"Dalam Lembaga Pengampunan, tidak ada seorang pun ahli lembaga yang terdiri daripada wakil DAP.
"Tambahan pula, segala urusan Lembaga Pengampuna dinasihati Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Presiden Pas, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilapor mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui DAP mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan.
Merujuk keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Abdul Hadi mendakwa kerajaan menolak titah supaya bekas Presiden UMNO itu menjalani hukuman penjara dalam bentuk tahanan rumah.
Dalam pada itu, Anthony berkata, tindakan Pas mengheret DAP dalam isu berkenaan merupakan cubaan menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecahkan Kerajaan Perpaduan.
"Pemimpin Pas kini amat gila kuasa dan gelojoh menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka merampas kuasa di Putrajaya.
"Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik pada masa kini untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan dan keji dibawa Pas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!