Bolehkah buang uri di tempat pembuangan sampah?

SEBAIK bayi dilahirkan, kita disunatkan untuk menanam urinya dengan cara yang sepatutnya. -Gambar hiasan
SEBAIK bayi dilahirkan, kita disunatkan untuk menanam urinya dengan cara yang sepatutnya. -Gambar hiasan
A
A
A

SEJURUS seorang bayi dilahirkan, uri yang berfungsi 'menjaga' bayi ketika dalam rahim seorang ibu akan dikeluarkan.

Lazimnya, masyarakat kita akan membasuh dan menanam uri berkenaan.

Andai kata ia dibuang di tempat pembuangan sampah, adakah dibolehkan kita untuk berbuat demikian?

Berdosakah kita jika membuang uri tersebut?

Pensyarah Universiti Utara Malaysia dan pendakwah, Dr Fitri Haris merungkaikan jawapannya dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

Ujar beliau, membuang uri bayi berkenaan adalah tidak digalakkan kerana ia merupakan sebahagian daripada diri kita.

Justeru, tambah beliau, tindakan paling baik dilakukan adalah dengan menanamnya dengan cara yang sepatutnya.

"Dikhuatiri uri itu menjadi makanan haiwan-haiwan liar seperti anjing dan sebagainya. Jadi, tak elok dan tak baik sebenarnya (jika uri itu dibuang)," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menjawab persoalan sama ada berdosa atau tidak jika berbuat demikian, hukumnya adalah makruh, namun kita disunatkan untuk menanamnya, terang Fitri.

"Kita duduk dalam satu kelompok komuniti yang mempunyai pelbagai ilmu. Kadangkala (ada orang yang) tidak dapat dijangkau ilmunya seperti sihir. Mereka boleh menggunakan uri ini sebagai sihir dan sebagainya," katanya.

Apa pun, beliau mengingatkan kita supaya jangan sampai menimbulkan perkara khurafat ketika proses penanaman uri berkenan.

"Dalam kita belajar memahami ilmu tentang penanaman uri, ada juga segelintir daripada masyarakat Islam menggunakan uri untuk membuat perkara-perkara khurafat contohnya tanam uri dengan letak garam, letak buku dan rebus serta sebagainya supaya anak pandai.

"Itu semua khurafat. Jangan buat perkara-perkara yang tidak berfaedah," nasihat beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!