Kuala Kangsar FA tak bayar yuran keahlian - PAFA
Persatuan Bolasepak Kuala Kangsar (KKFA) diketepikan pada kongres Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bulan lalu kerana tidak membayar yuran keahlian kepada badan induk bola sepak negeri itu.
Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin menjelaskan, berdasarkan semakan sehingga 18 Julai 2024, pihaknya tidak menerima Borang B (Borang Pembaharuan Keahlian Persatuan) dan slip pembayaran yuran daripada KKFA, sama ada melalui email rasmi, WhatsApp atau serah tangan di pejabat PAFA pada tarikh tutup.
"PAFA telah mengeluarkan Borang B kepada semua 17 ahli gabungan termasuk KKFA pada 10 Julai dan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif, 3 Disember lalu mengesahkan hanya 13 daripada 16 ahli gabungan melengkapkan borang dan menjelaskan bayaran.
"Terdapat dua lagi ahli gabungan tidak mengembalikan Borang B bersama slip pembayaran yuran setelah tarikh tutup adalah KKFA dan Persatuan Bolasepak Daerah Tanjung Malim.
"Manakala Majlis Sukan India Perak pula hanya menghantar Borang B tanpa bukti telah menjelaskan bayaran yuran tahunan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Azhar berkata, Jawatankuasa Eksekutif kemudian meneliti dan menyemak permohonan baharu daripada Persatuan Bolasepak Mualim (MFA) dan telah meluluskan permohonan persatuan menjadi ahli gabungan.
Tambah beliau, semakan lanjut dengan pihak bank pada Isnin lalu mendapati, terdapat satu transaksi berjumlah RM150 melalui akaun peribadi, bukannya akaun persatuan.
"Bayaran itu diterima pada 18 Julai pada jam 8.42 malam malam (di luar waktu operasi pejabat dan bank) yang tidak dapat disahkan ahli gabungan yang membayarnya," jelasnya.
Mohd Azhar turut menegaskan bahawa kepimpinan baharu PAFA mengutamakan urus tadbir yang cekap dan adil serta tata kelola berintegriti.
"PAFA bersedia membantu siasatan dan memberi kerjasama penuh kepada FAM berkaitan kes ini," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, PAFA berkemungkinan dikenakan penggantungan oleh FAM seperti Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Bekas Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, FAM perlu mengambil tindakan terhadap PAFA selepas berdepan isu sama seperti KAFA yang menyebabkan keahlian badan induk bola sepak Kelantan itu digantung, seterusnya perlu mengadakan pemilihan semula selepas dua ahli gabungannya tidak dijemput untuk kongres pemilihan persatuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!