FGV, MPOB jalin kerjasama tingkat kebolehkesanan, perkasa pekebun kecil

Johari ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara MPOB dan FGV Holdings Berhad di Wisma FGV, hari ini. Foto Bernama
Johari ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara MPOB dan FGV Holdings Berhad di Wisma FGV, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

FGV Holdings Bhd (FGV) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjalin kerjasama strategik dengan memeterai memorandum kerjasama (MoC) untuk meningkatkan kebolehkesanan dan memperkasa pekebun kecil.

Tiga tonggak utama yang akan memacu transformasi menerusi MoC itu iaitu pertama dengan memperkasa pekebun kecil kerana kejayaan mereka penting bagi pertumbuhan dan kestabilan industri; kedua, memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian kemampanan, bagi menjamin masa depan yang lebih hijau dan lebih bertanggungjawab untuk pengeluaran minyak sawit.

Sementara itu, tonggak ketiga; merevolusikan industri minyak sawit melalui penggunaan teknologi termaju yang akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, di bawah kerjasama ini, FGV melalui anak syarikatnya akan membantu MPOB meningkatkan keberkesanan dan kebolehgunaan platform MPOB sedia ada seperti GeoPALM dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS).

Ini akan melibatkan penyepaduan teknologi canggih, termasuk pemetaan geolokasi, pengesahan data, rantaian blok untuk kebolehkesanan, dan alat untuk analisis data dan membuat keputusan

"Kerjasama antara MPOB dan FGV ini memperlihatkan bagaimana pengumpulan data daripada pekebun kecil dilaksanakan, khususnya untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data yang diuruskan oleh MPOB dalam SIMS.

"Apa yang FGV lakukan hari ini ialah untuk meningkatkan kebolehkesanan dalam syarikat FGV," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoC tersebut di sini hari ini.

Dokumen itu ditandatangani oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman, Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, dan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Artikel Berkaitan:

Rastam berkata, menerusi kerjasama ini, syarikat akan terus membangunkan masa depan sektor minyak sawit Malaysia bagi mengukuhkan ekonomi dan kedudukannya di peringkat global.

"Kami bukan sahaja memajukan sistem kebolehkesanan untuk memenuhi piawaian global tetapi juga melengkapkan pekebun kecil dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Helmy berkata, kerjasama itu akan memfokuskan terutamanya untuk mempertingkatkan ketelusan data dan maklumat pemetaan poligon melalui portal GeoPALM serta pematuhan piawaian antarabangsa.

Selain itu, ia akan meningkatkan kecekapan operasi melalui analisis data yang lebih tepat, meningkatkan daya saing pekebun kecil bebas, mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan meningkatkan hasil tanaman untuk mengukuhkan kedudukan minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.

Melalui penyepaduan data geospatial, pekebun kecil, pemain industri dan penggubal dasar akan mendapat akses kepada maklumat yang berkaitan untuk memastikan pematuhan dengan piawaian yang ditetapkan yang secara langsung akan meningkatkan kredibiliti global minyak sawit Malaysia.

Sebagai pengeluar tandan buah segar (TBS) pekebun kecil terbesar di Malaysia, FGV memperoleh hampir dua pertiga daripada bekalan TBS, kira-kira 4.5 juta tan, daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil bebas pada harga pasaran.

Pada 2024, FGV melibatkan lebih 1,500 pekebun kecil melalui program kemampanan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan dan piawaian pensijilan sambil menangani cabaran pengurusan tanah.

FGV menyasarkan untuk mengembangkan usaha ini pada 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!