SKMM sekat 3.1 bilion panggilan 'scam'

Fahmi menyampaikan ucapan pada majlis International Regulatory Conference (IRC) 2025 yang diadakan pada Selasa. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Fahmi menyampaikan ucapan pada majlis International Regulatory Conference (IRC) 2025 yang diadakan pada Selasa. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat sebanyak 3.1 bilion panggilan disyaki berunsur penipuan setakat Disember 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan diambil bagi menangani kerugian sebanyak RM53.34 bilion akibat scam sepanjang tahun lalu, yang merangkumi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan State of Scam 2024.

Menurutnya, SKMM menerima hampir 12,000 aduan berkaitan scam sejak bekerjasama dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022.

“Selain itu, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini telah melaksanakan 'Ops Pedo Bersepadu', satu operasi besar-besaran di seluruh negara menyasarkan bahan yang membawa kepada penyalahgunaan seksual kanak-kanak dalam talian (CSAM).

Fahmi (tengah) merasmikan majlis IRC 2025 disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (tiga dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Isa (dua dari kanan) dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan) yang diadakan pada Selasa. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

"Operasi ini membawa kepada penahanan 13 individu di enam negeri serta rampasan sekitar 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa. Tindakan tegas ini menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi masyarakat kita,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 pada Selasa.

Selain itu, Fahmi menekankan kepentingan besar dalam menghapuskan ancaman siber melalui langkah-langkah keselamatan yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

“Ia termasuk mempromosikan pendidikan pengguna bagi menggalakkan individu untuk melindungi diri mereka dalam landskap digital serta bekerjasama dengan industri bagi memastikan amalan etika dan ketelusan sentiasa tercapai.

"Seiring dengan peningkatan perkongsian maklumat peribadi dan sensitif dalam talian, kerajaan komited untuk memperkukuhkan perlindungan pengguna melalui peraturan ketat yang melindungi data sambil membina kepercayaan antara pengguna dan penyedia teknologi,” ujarnya.

Menyentuh tentang pelaksanaan IRC kali kedua, Fahmi menjelaskan ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan serta jaringan kerjasama antara badan-badan kawal selia di kalangan negara-negara ASEAN.

Fahmi (lima dari kanan); Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (lima dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Isa (empat dari kanan) dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (tiga dari kanan) bergambar bersama peserta pada IRC 2025 yang diadakan pada Selasa. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

“Hal ini penting kerana kita mendapati bahawa walaupun cabaran yang dihadapi hampir serupa, rangka dan badan-badan kawal selia di setiap negara sering kali berbeza. Antara hal utama yang sering dibincangkan adalah masalah scam, aspek telekomunikasi, serta isu-isu yang berkaitan dengan media sosial.

“Berdasarkan hasil pertemuan tahun lalu, kita telah merangka IRC 2025 dengan tema Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era. Kami berharap hasil perbincangan tersebut dapat membawa kemajuan, bukan hanya dalam aspek perbincangan, tetapi juga dalam pembentukan kerangka kawal selia yang mampan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!