Serba tidak menjadi buat Sze Fei-Nur Izzuddin

Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir awal Terbuka Malaysia sebentar tadi. Foto: Badminton Association of Malaysia. BAM
Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir awal Terbuka Malaysia sebentar tadi. Foto: Badminton Association of Malaysia. BAM
A
A
A

BAGAI serba tidak menjadi buat beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tewas mengejut kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard setelah tersingkir awal Terbuka Malaysia sebentar tadi.

Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, pasangan negara berstatus regu ketiga dunia tewas kepada pasangan Denmark dalam pertarungan tiga set.

Mereka memulakan set pertama dengan langkah kiri apabila kalah 15-21, namun bangkit memperkemaskan permainan sebelum menang 21-9 untuk melanjutkan saingan ke perlawanan penentuan.

Namun momentum positif juara Terbuka China itu gagal diteruskan apabila tumpas 18-21 dalam aksi selama 52 minit.

Sze Fei mengakui saingan tersebut sebagai sengit dan sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak memihak mereka.

"Kami sudah beri yang terbaik, namun lawan lebih bagus. Malah, corak permainan kami juga tidak menjadi," katanya.

Kemenangan Lundgaard-Vestergaard menyaksikan beregu di ranking ke-26 dunia itu melunaskan dendam kekalahan sebelum ini ke atas beregu negara ketika di separuh akhir Masters Abu Dhabi pada 2023.

Rekod pertemuan antara Sze Fei-Izzuddin dan Lundgaard-Vestergaard kini terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh keletihan beraksi di pentas final Jelajah Dunia Akhir di China bulan lalu mungkin menjadi faktor kekalahan, Sze Fei menafikan ia menjadi punca tewas kali ini.

Berhubung jangkaan tinggi peminat untuk melihat mereka mara jauh pada kejohanan berstatus Super 1000 itu, beliau tidak dapat mengawal perkara itu.

"Ia tidak boleh kawal, apa yang kami boleh buat ialah beri yang terbaik," katanya.

Menerusi kekalahan tersebut, ia bermakna Malaysia setakat ini belum mempunyai wakil pada pusingan kedua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!