Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB dijangka siap suku ketiga 2025
KUALA LUMPUR - Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, apabila projek itu selesai, ia akan memudahkan perkhidmatan perdagangan di antara Kuala Lumpur dengan Johor Bahru, menjadikan ia sebagai pemangkin utama untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
"Diharapkan menjelang suku ketiga (tahun ini), kita akan melihat perdagangan berjalan dari Kuala Lumpur hingga Johor Bahru," katanya pada forum yang diadakan bersempena dengan Hari Korporat Tahunan ke-17 CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Beliau optimis bahawa penyiapan projek infrastruktur ini yang tepat pada masanya akan membantu merangsang pembangunan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan kedudukan ia sebagai hab ekonomi serantau, menarik pelaburan dan meningkatkan daya tahan ekonomi secara keseluruhan.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata terdapat dua lagi projek utama yang dijangka siap pada 2026, iaitu stesen RTS Bukit Chagar, sebuah stesen terminal bertingkat yang sedang dibina di Johor Bahru, dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur.
"Kita berharap beberapa projek infrastruktur utama ini dapat disiapkan mengikut jadual tahun ini. Pembangunan seperti ini pastinya akan menyokong objektif ekonomi yang lebih luas," katanya.
Gemas-JB EDTP ialah projek perkhidmatan tren elektrik sepanjang 192 kilometer meliputi empat daerah utama di Johor, iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru. Ia akan mengurangkan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur kepada empat setengah jam berbanding tujuh jam sebelum ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat peningkatan sumbangan bagi pembangunan infrastruktur daripada kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, Loke berkata kerajaan pusat akan terus melaksanakan tanggungjawab terhadap kedua-dua negeri itu.
"Sabah dan Sarawak sentiasa menerima bahagian terbesar daripada perbelanjaan pembangunan kerana saiz dan kerumitan keperluan infrastruktur dua negeri itu.
"Sarawak khususnya mencatatkan pertumbuhan ketara dalam sumber hasil tersendiri, membolehkan ia melabur semula dalam infrastruktur tempatan termasuk projek seperti pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!