Puspakom tidak bertolak ansur pekerja terlibat dengan sindiket

Mahmood Razak. Foto Bernama
Mahmood Razak. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memberi jaminan individu yang terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di salah satu cawangannya pada Isnin akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya sedang melancarkan siasatan dalaman dan tidak akan bertolak ansur dengan pekerja yang terbabit dengan sindiket tersebut.

“Seperti yang sudah berkali saya tegaskan, Puspakom tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah rasuah.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam kegiatan seperti ini, termasuk mereka yang bersekongkol dengan sindiket dan menjalankan aktiviti meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menahan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 dan 50-an itu ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 11 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Ujarnya, keenam-enam kakitangan yang ditahan itu sudah digantung daripada tugas secara serta-merta agar siasatan SPRM dapat dijalankan dengan telus dan lancar

Jelas Mahmood Razak, pihaknya memandang serius berhubung isu berkenaan terutama apabila melibatkan soal integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

Artikel Berkaitan:

“Puspakom tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!