Boling Piala Dunia 2025: Muhammad Rafiq mula langkah kanan di Hong Kong
BEKAS juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail memulakan aksi Kejohanan Boling Piala Dunia 2025 dengan langkah kanan apabila menduduki tangga kedua di peringkat Kumpulan B Pool 2 di Kowloon, Hong Kong pada Selasa.
Menurut laman web https://www.abf-online.org/results/2025 pemain berusia 27 tahun itu cemerlang memenangi lima daripada enam perlawanan untuk memperoleh 15 mata sekali gus menempatkannya di kedudukan kedua kumpulan dengan 1,355 jatuhan pin.
Atlet India, Ramachandraiah Kishan mengungguli Kumpulan B Pool 2 selepas memenangi keenam-enam perlawanan dengan memperoleh 18 mata selepas membuat 1,072 jatuhan pin manakala atlet Denmark, Mathias Ankerdal dan Australia, Chris Castle masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan.
Mengulas mengenai perlawanan, Muhammad Rafiq berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan meskipun sedikit 'ralat' dengan satu kekalahan yang membuatnya hilang tiga mata untuk memenangi peringkat kumpulan hari ini.
“Bagaimanapun esok (lusa) akan ada lagi tujuh permainan, harap momentum ini berterusan untuk melayakkan saya ke peringkat seterusnya,”katanya menerusi video yang dikongsikan kepada pemberita.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam sekadar menduduki tempat ke-11 selepas memenangi dua daripada enam perlawanan dengan pungutan enam mata selepas membuat 1187 jatuhan pin pada aksi Kumpulan A Pool 1.
Muhammad Rafiq dan Tun Hakim bakal membuat perhitungan bagi tujuh lagi perlawanan peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke pusingan pertama.
Hanya empat terbaik peringkat kumpulan akan melangkah ke pusingan pertama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!