Titah Adendum: Pembangkang sengaja serang PM tanpa hujah bernas
SHAH ALAM - Pembangkang didakwa secara sengaja menggunakan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, blok itu seolah 'menangguk di air keruh' dengan mengeluarkan kenyataan tanpa asas dan hujah yang bernas.
"Usah bermain dengan sentimen yang mengelirukan rakyat, sebaliknya pimpinan pembangkang perlu lebih matang mengenai soal pemisahan kuasa, jalur hukum dan undang-undang.
"Sikap yang diambil oleh Perdana Menteri seperti yang telah dijelaskan di Dewan Rakyat beberapa minggu lalu adalah untuk menghormati proses undang-undang dan tidak mendahului mahkamah.
"Ternyata lenggok bahasa yang digunakan Perdana Menteri terlalu tinggi untuk digarap oleh watak-watak berkepentingan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, Pas mendesak Anwar yang juga Menteri Kewangan segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Desakan tersebut disuarakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari susulan keputusan Mahkamah Rayuan telah mengesahkan kewujudan Titah Adendum, sekali gus membuktikan terdapat unsur penyembunyian maklumat penting oleh kerajaan.
Selain itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mendakwa Perdana Menteri membunyikan titah berkenaan dan menyifatkan ia tindakan penderhakaan besar kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut menempelak tindakan pembangkang yang membangkitkan isu kerajaan 'derhaka' terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
"Dalam soal murka dan derhaka adalah selayaknya kita tanya kepada watak-watak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainuddin dan (Datuk Seri) Takiyuddin Hassan dalam kes pembatalan ordinan darurat semasa mereka di tampuk kuasa.
"Ternyata mereka lebih awal dan berpengalaman dalam soal derhaka kepada Raja-Raja Melayu yang lantas secara jelas membelakangi Istana sehingga mengundang rasa dukacita Yang di-pertuan Agong ketika itu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!