Pasangan baharu Indonesia jerat Pearly-Thinaah

Pearly (kiri) dan Thinaah tumpas di tangan pasangan Indonesia dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB BAM
Pearly (kiri) dan Thinaah tumpas di tangan pasangan Indonesia dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB BAM
A
A
A

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal membaca rentak gandingan baharu, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti apabila tewas dalam saingan awal Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pasangan 'kacau daun' dari Indonesia itu baru digandingkan Oktober tahun lalu menekan gandingan negara sehingga ke perlawanan penentuan.

Pearly-Thinaah bermula positif pada set pertama 21-19, namun rentak permainan mereka berubah dalam dua saingan selepas itu.

Lanny Tria-Siti Fadia kemudian bangkit 21-14, 21-13 untuk mengesahkan kemenangan dalam tempoh 63 minit permainan.

"Saya rasa kesilapan kami adalah mengikut gaya permainan lawan di penghujung set ketiga.

"Mereka adalah pasangan yang baru digandingkan, namun kami tahu kemampuan mereka.

"Apabila mereka digandingkan, pukulan mereka sukar diramal dan ia mengganggu corak permainan kami," ujar Thinaah.

Di sebalik kekalahan tersebut mereka memohon maaf kerana gagal menggembirakan peminat badminton negara.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada peminat kerana datang menyokong kami. Sokongan amat dihargai dan berharap anda akan terus bersama kami," kata Thinaah.

Kekalahan Pearly-Thinaah itu menyaksikan mereka menjadi wakil ketujuh negara yang terkandas pada pusingan pertama.

Wakil negara yang sudah menamatkan perjuangan ialah perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki).

Turut tersingkir ialah tiga beregu campuran - Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (beregu wanita).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!