Angka korban gempa bumi di Gunung Everest mencecah 95 orang
BEIJING - Angka korban akibat gempa bumi kuat di kawasan sekitar Gunung Everest meningkat kepada 95 orang pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa) yang memetik agensi berita rasmi China, Xinhua.
Gempa bumi turut mencederakan 130 orang lagi di Wilayah Autonomi Tibet, China, menurut laporan agensi itu pada sebelah petang.
Gegaran kuat berlaku di Daerah Dingri yang terletak di bahagian utara Gunung Everest, kira-kira 400 kilometer ke barat ibu kota Tibet, Lhasa.
Menurut Xinhua, kira-kira 6,900 orang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat gempa. Secara keseluruhan, Daerah Dingri mempunyai populasi seramai 61,000 orang berdasarkan angka rasmi.
Gempa bumi itu, yang diukur pada 7.1 skala Richter oleh pakar Amerika Syarikat dan 6.8 mengikut pihak berkuasa China, turut dirasai di Nepal dan utara India.
Akhbar The Himalayan Times melaporkan penduduk di ibu kota Nepal, Kathmandu serta kawasan lain di negara itu keluar ke jalanan kerana bimbang rumah mereka runtuh. Bagaimanapun, belum jelas sama ada terdapat kecederaan di sana. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!