RUU Jenayah Siber akan dibentang di Parlimen pada Oktober - NACSA
KUALA LUMPUR - Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam proses merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu yang dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Sesi Keempat Parlimen ke-15 pada Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, RUU yang dicadangkan itu bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang kini dianggap lapuk dan tidak relevan dalam menangani ancaman siber moden.
"Beberapa minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap penggubalan RUU baharu ini dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi 2024.
"Kita sebenarnya mahu menyemak Akta Jenayah Komputer 1997 tetapi saya rasa lebih relevan jika mempunyai akta baharu berbanding menyemak akta lama, ia lebih rumit,” katanya kepada Bernama selepas Sesi Dialog bertajuk 'Regulating for Resilience: Cybersecurity and Critical Infrastructure Protection' di Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 hari ini.
Beliau berkata, RUU baharu itu menjadi keperluan utama bagi Malaysia untuk menyertai Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber pada Jun ini, kedua-dua konvensyen itu penting bagi menunjukkan komitmen negara dalam memerangi jenayah siber di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
Dalam sesi dialog berasingan di persidangan tersebut, Megat Zuhairy juga menyeru tindakan segera bagi menangani kekurangan kritikal profesional keselamatan siber, dengan menekankan sasaran Perdana Menteri untuk mencapai 25,000 pakar keselamatan siber menjelang akhir tahun ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan untuk mengekalkan bakat tempatan bagi memenuhi matlamat tersebut.
"Pihak industri perlu menawarkan gaji lebih tinggi kepada bakat-bakat Malaysia dan tidak membiarkan mereka berhijrah ke Singapura atau Dubai sebaliknya terus kekal di Malaysia. Dengan kekurangan bakat tempatan, kita mempertaruhkan keselamatan negara dalam perspektif lebih luas.
"Kita memerlukan 10,000 bakat tahun ini dan jika universiti mampu menghasilkan 3,000 orang sekarang, separuh daripadanya akan pergi ke negara lain seperti Singapura, Qatar dan Dubai yang menawarkan lebih banyak (gaji). Ia bergantung kepada cara konvensional dalam mendapatkan bekalan dan kita perlu mengambil pendekatan drastik bagi mendapatkan lebih banyak bakat,” katanya.
Selain itu, beliau juga menyarankan fleksibiliti di tempat kerja bagi menggalakkan lebih ramai wanita memasuki dan kekal dalam sektor tenaga kerja keselamatan siber.
Sementara itu, sesi dialog yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Teknikal dan Pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Che Juhan Che Mat, turut disertai Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian serta Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Digital Nasional Berhad (DNB), Nasution Mohamed.
Persidangan dua hari berakhir esok yang dianjurkan oleh MCMC itu, menyaksikan penyertaan pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar global dari ASEAN, Australia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi bagi membincangkan mengenai keseimbangan antara inovasi dan perlindungan pengguna selain menggalakkan kepercayaan dan kerjasama global. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!