'Bayangkan 30,000 penonton beratur buat ujian air kencing'

Pelaksanaan ujian air kencing antara SOP kepada pengunjung konsert tindakan tidak praktikal. Gambar hiasan (Gambar kecil: Freddie, Shahul Hamid)
Pelaksanaan ujian air kencing antara SOP kepada pengunjung konsert tindakan tidak praktikal. Gambar hiasan (Gambar kecil: Freddie, Shahul Hamid)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan ujian air kencing antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung konsert tindakan tidak praktikal.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, langkah itu mengambil masa lama berdasarkan proses pengesanan air kencing yang standard.

“Bayangkan sebuah konsert dihadiri 30,000 penonton, setiap individu perlu beratur untuk menjalani ujian air kencing. Situasi ini pastinya memakan masa, memerlukan tenaga kerja besar dan secara keseluruhannya saya berpendapat ia tidak begitu praktikal.

“Bagaimanapun ia baik untuk dilakukan sekiranya proses ujian air kencing dapat dijalankan secara efisien dan tidak memakan masa lama serta mempunyai teknologi terkini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung dalam usaha mengelakkan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, syor tersebut, merupakan antara perkara yang bakal dibincangkan dan diperincikan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu (8 Januari) ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah Freddie, pendekatan asas lebih mudah dan segera dilaksanakan adalah dengan meningkatkan penglibatan antara konsert dan kempen kesedaran anti-dadah.

“Sebagai contoh mesej kesedaran seperti slogan ‘Muzik Tanpa Dadah’ boleh diketengahkan melalui setiap tiket, papan iklan dan tayangan video di skrin besar sebelum acara bermula.

“Tayangan video impak negatif dadah juga boleh diulang pada pertengahan konsert sebagai peringatan. Pelaksanaan kempen ini memerlukan penglibatan badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menguruskan usaha lebih agresif dan efektif,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian peribadi dan maklumat diperoleh daripada pihak yang menghadiri konsert, kebanyakan insiden kematian berlaku dalam kalangan remaja bukanlah pengguna tegar dadah.

Ujar beliau, sebaliknya mereka adalah individu yang pertama kali mencuba dadah atau golongan beginner.

Dalam pada itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, perkhidmatan anjing pengesan K9 boleh digunakan sebagai prosedur operasi standard (SOP) dalam mengesan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah oleh pengunjung konsert.

“Penguatkuasaan cekap penting bagi memerangi jenayah itu sekali gus dapat melindungi generasi akan datang.

“Selain itu, alat pengimbas automatik juga boleh digunakan di pintu masuk untuk mengesan penyalahgunaan dadah terhadap seseorang individu melalui sensor. Namun perlu diingat pembekal mahupun orang terlibat dadah ini sangat licik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lima lagi individu direkod keterangan berhubung siasatan kes kematian empat individu dipercayai akibat mengambil pil ekstasi ketika sambutan ambang tahun baharu konsert Pinkfish.

“Jumlah yang direkodkan keseluruhan ialah seramai 49 orang setakat jam 5 petang Selasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!