Sugumaran tawar diri bertanding Naib Presiden FAM
KONGRES Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) penggal 2025-2029, pada 15 Februari depan, kian hangat apabila Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Dr PS Sugumaran menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden badan induk tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak Belia FAS berkata, hasrat bertanding dalam pemilihan FAM itu bagi menyumbang bakti kepada arena bola sepak negara pada masa depan.
“Hasrat saya adalah untuk bersama-sama rakan lain martabatkan semula FAM termasuk juga ahli gabungan supaya seiring dengan transformasi bola sepak negara.
“Saya juga meraikan rakan-rakan lain yang mahu bertanding kerana percaya semua mahu menyumbang sesuatu dalam mengangkat semula martabat tidak hanya skuad senior Harimau Malaya dan Harimau Muda Bawah 23 (B-23) tahun tetapi juga memperkasakan sistem pembangunan akar umbi pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Malah, peranan sebagai pengurus skuad B-23 tahun Selangor saingan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dari 2019 hingga kini menyaksikan skuad muda Gergasi Merah (37 mata) di tangga kedua bagi saingan 2024/25 apabila mengekori rapat Johor Darul Ta’zim (JDT) II (38 mata).
Skuad muda Gergasi Merah berjaya membawa pulang satu mata dari Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang selepas terikat 1-1 dengan JDT II pada Isnin.
Sebagai rekod, Sugumaran yang pernah mengalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAS dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAS, kini bersama FAS berjaya melaksanakan program pembangunan peringkat akar umbi dalam menyediakan pemain pelapis tidak hanya untuk Selangor tetapi juga negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sebelum ini berkata, senarai calon yang akan bertanding Pemilihan FAM Penggal 2025-2029 akan diketahui hujung bulan ini.
Jelas Azman, FAM sudah menghantar emel notis kongres dan borang pencalonan kepada kesemua ahli gabungannya dengan tarikh tutup pada 16 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!