Tak mahu lagi kembali ke zaman Covid-19

Selepas Covid-19, kini muncul satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu human metapneumovirus (HMPV) yang semakin menular. Gambar hiasan
Selepas Covid-19, kini muncul satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu human metapneumovirus (HMPV) yang semakin menular. Gambar hiasan
A
A
A

COVID-19, cacar monyet, influenza, ebola dan pelbagai lagi jenis virus di dunia ini antara yang memberi ancaman kepada manusia. Virus yang menyerang bukan sahaja menjejaskan sistem imuniti badan malah sesetengah daripadanya boleh mengancam nyawa si pesakit.

Selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 dilaporkan di China, negara Asia Timur itu kini berdepan ancaman satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu human metapneumovirus (HMPV) yang semakin menular.

Di tengah-tengah lonjakan kes sejak pertengahan Disember 2024, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.

Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC) di Beijing turut menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes bagi meredakan kebimbangan orang ramai.

Terdapat aduan mengenai hospital penuh sesak dan sistem penjagaan kesihatan yang tertekan akibat penularan pantas virus terbabit terutama di kawasan utara China.

Menurut CDC, HMPV yang tergolong dalam keluarga Pneumoviridae dan genus Metapneumovirus adalah virus RNA rantaian tunggal bersifat negatif yang bersampul.

Kajian serologi menunjukkan bahawa ia telah wujud sekurang-kurangnya selama 60 tahun dan tersebar di seluruh dunia sebagai patogen pernafasan biasa.

Kanak-kanak, golongan kurang ketahanan badan dan warga emas lebih mudah terdedah serta cenderung mengalami jangkitan bersama dengan virus pernafasan lain.

Artikel Berkaitan:

HMPV sering menyebabkan gejala selsema biasa seperti batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi, tetapi dalam kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan bronkitis dan radang paru-paru.

Bagi individu yang mempunyai masalah perubatan asas, jangkitan HMPV boleh menyebabkan kematian. Dilaporkan, satu peratus daripada kematian berkaitan jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun boleh dikaitkan dengan HMPV.

Bagaimanapun pada masa ini, tiada vaksin atau ubat yang berkesan untuk HMPV dan rawatan lebih tertumpu pada melegakan gejala.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu memaklumkan telah mengesan sebanyak 327 sampel positif virus HMPV sepanjang tahun 2024, meningkat berbanding 225 pada tahun 2023.

Namun KKM memaklumkan, ia bukanlah satu penyakit baharu dan di negara ini, jangkitan HMPV tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya oleh KKM, selaras peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti China.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan, KKM sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa, sama ada di dalam dan luar negara termasuklah kuman yang menyebabkan Covid-19, influenza dan jangkitan saluran pernafasan lain.

Namun yang paling penting, orang ramai perlu berjaga-jaga kerana jangkitan saluran pernafasan akan terus wujud dalam komuniti.

Sudah tentu kita tidak mahu kembali ke zaman ketika Covid-19 mengganas di seluruh dunia sehingga menyebabkan kita terpaksa ‘berkurung’ di dalam rumah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Covid-19 ketika itu bukan sahaja menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa orang tersayang, malah ekonomi turut terjejas akibat tidak boleh menjalani kehidupan normal dan sesetengah sektor pekerjaan tidak boleh berfungsi seperti biasa. Banyak industri lumpuh sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

Mahu atau tidak, kita terpaksa reda ‘hidup’ dan tinggal dengan virus yang sukar dikesan dengan mata kasar ini. Cuma kita boleh membantu meredakan penularan virus dengan sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan seperti kerap membasuh tangan, elak berada di tempat sesak dan memakai topeng muka bagi mereka yang berisiko dan memerlukan.

Jika kita pernah berjaya mengharungi zaman kemuncak Covid-19 selama beberapa tahun, insya-ALLAH kita juga boleh mengawal situasi luar jangka daripada pelbagai virus lain yang muncul selepas ini.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!