Lelaki hidap tujuh penyakit kronik bangkit daripada kesusahan
BESUT - Seorang lelaki yang menghidap tujuh penyakit kronik bangkit daripada kesusahan dengan menjalankan perniagaan madu kelulut dan bawang tunggal bersama isterinya.
Nik Mohd Azwa Nik Yahya, 41, sebelum ini bekerja sebagai penolong jurutera di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerja selepas disahkan mengalami penyakit kerosakan urat saraf mata (glaukoma).
Menurutnya, masalah glaukoma dialami berpunca daripada kemalangan di tempat kerja, menyebabkan dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Kampung Padang Luas, Besut di sini.
"Saya ambil keputusan untuk bawa anak dan isteri balik dan menetap di kampung pada 2018. Waktu itu saya betul-betul kehilangan, hilang upaya untuk bekerja kerana penglihatan kabur akibat kemalangan dan hilang pekerjaan.
"Keadaan lebih sukar apabila dalam masa yang sama saya juga diuji dengan enam lagi penyakit kronik antaranya diabetes, darah tinggi, penyakit jantung, masalah paru-paru, usus dan kegagalan buah pinggang," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Luas di sini baru-baru ini.
Nik Mohd Azwa berkata, selepas menghidap glaukoma, dia disahkan mengalami tumor di bahagian usus ketika ingin menjalani pembedahan buah pinggang pada 2020.
"Saya terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang tumor itu terlebih dahulu sebelum melalui pembedahan buah pinggang.
"Disebabkan pelbagai penyakit ini, saya pernah menjalani sehingga empat kali pembedahan dan pernah telantar selama enam bulan di atas katil.
"Waktu itu, saya hilang semangat terus. Rasa tertekan sehingga setiap hari saya terfikir untuk tidak 'bangun' terus dari tidur kerana hilang arah hidup, tak tahu bagaimana untuk hadapi realiti kehidupan ini, " kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Bagaimanapun, 'mendung' yang menimpa Nik Mohd Azwa tidak berpanjangan, dengan sokongan isteri, Siti Aisyah Osman, 37, dia kembali bangkit menjalani kehidupan baharu.
"Berkat doa yang tidak pernah putus, sokongan isteri dan ahli keluarga, saya kembali bangkit untuk menjalani fasa baharu kehidupan. Hampir setahun juga untuk saya kembali pulih.
"Walaupun pergerakan agak terbatas, saya sudah mampu berjalan semula walaupun tidak seperti sebelum ditimpa sakit dahulu," ujarnya yang sentiasa berulang alik ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan susulan.
Nik Mohd Azwa yang merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu melibatkan kos rawatan kira-kira RM350 bagi setiap satu sesi.
"Saya bersyukur kerana dengan bantuan JKM ini, ia sedikit sebanyak dapat menampung dan meringankan bebanan hidup saya sekeluarga.
"Saya juga bersyukur kerana dapat membantu isteri menguruskan jualan madu kelulut dan bawang tunggal yang kini menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga," kongsinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!