Isu dakwaan buli RMC sedang ditangani pihak berkuasa
SHAH ALAM - Isu melibatkan dakwaan buli berlaku di Maktab Tentera Diraja (RMC) sedang ditangani oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
Setiausaha Persatuan Bekas Putera (OPA), Khairul Ridzwan Ibrahim berkata, pihaknya telah terlibat secara aktif dengan Komandan Maktab Tentera Diraja (Komandan MTD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak berkepentingan bagi memahami sepenuhnya situasi tersebut.
“Sebarang tindakan penting bagi isu berkenaan akan diambil bagi menjaga reputasi sekolah tersebut dan komunitinya.
“OPA tidak bersetuju dengan sebarang tindakan individu termasuk ahli, daripada berkongsi maklumat tidak lengkap atau tidak tepat dengan pihak luar, tanpa pengesahan sewajarnya.
“Kami menggesa semua pihak untuk menangani perkara itu dengan berhati-hati, saling menghormati dan tanggungjawab sambil menyokong usaha menjaga kehormatan sekolah kami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, beberapa bekas pelajar beserta ibu bapa membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian dengan mendakwa dibuli dan didenda secara keterlaluan oleh senior Tingkatan Lima.
Ujar Khairul Ridzwan, pihaknya juga kekal terlibat secara aktif dalam memantau keadaan dan menyokong pengurusan berhubung isu tersebut.
“Kami juga kesal dengan dakwaan yang dibuat melalui media sosial dan kesannya terhadap semangat Putera dan komuniti kami.
“Kami menggesa semua ahli untuk berhati-hati apabila menggunakan media sosial dalam membincangkan perkara tersebut.
“RMC, sebagai institusi yang terlibat secara langsung, mesti diberikan ruang dan sokongan untuk menangani isu tersebut secara adil serta bertanggungjawab,” ujarnya.
Menurutnya, OPA menegakkan dasar toleransi sifar terhadap buli dan salah laku selain, menyokong kepada pembinaan persekitaran yang selamat, hormat-menghormati serta sesuai untuk Putera.
“Kami menghargai persefahaman dan kerjasama semua pihak dalam menangani perkara ini
perkara dengan teliti, profesionalisme dan komitmen terhadap nilai yang mentakrifkan RMC dan OPA,” ulas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!