Anjing liar serang ternakan, penduduk rugi ribuan ringgit

Masykuri menunjukkan lubang yang digali anjing liar untuk masuk ke kandang kambingnya. (Gambar kecil: Masykuri, Adam, Wan Muhammad)
Masykuri menunjukkan lubang yang digali anjing liar untuk masuk ke kandang kambingnya. (Gambar kecil: Masykuri, Adam, Wan Muhammad)
A
A
A

PENDUDUK di Kampung Alor Peroi, dekat Kuala Besut, Besut diselubungi kebimbangan berikutan masalah kumpulan anjing liar yang mengancam serta menyerang haiwan ternakan.

Berdasarkan perkongsian penduduk, lebih 100 ekor ternakan mati diserang haiwan itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, menyebabkan penternak menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit.

Menerusi Apa Khabar Rakyat kali ini, wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM menyingkap luahan penduduk di sebalik masalah yang membelenggu mereka di kawasan berkenaan.

BESUT - Ancaman anjing liar semakin berleluasa sejak dua bulan lalu menyebabkan penduduk di kawasan itu terpaksa mencari pelbagai inisiatif bagi memastikan haiwan peliharaan selamat.

Seorang penduduk, Masykuri Ngah, 44, berkata, dia mengambil inisiatif membina pagar baharu untuk menyelamatkan ternakannya.

“Selepas tiga kali kambing peliharaan saya mati diserang anjing liar hujung Oktober tahun lalu, saya bina pagar baharu untuk menyelamatkan ternakan kerana anjing-anjing ini biasanya memburu ternakan pada waktu malam dengan menyelinap masuk ke dalam kandang.

“Hampir RM10,000 dibelanjakan untuk membina pagar baharu yang lebih kukuh dan ia siap pada November tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai serangan anjing liar, Masykuri berkata, dia rugi kira-kira RM6,000 selepas enam ekor kambingnya mati diserang haiwan itu ketika berada di dalam kandang.

Artikel Berkaitan:

“Kejadian kambing peliharaan saya mati di dalam kandang belum pernah berlaku, yang menghairankan ia mati waktu malam dan kambing ini dalam kawalan, bukan dilepaskan berkeliaran.

“Saya juga pernah terserempak dengan sekumpulan anjing liar sedang merosakkan dan menggali lubang bahagian luar pagar kandang kambing yang baru dibina ini,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azmi Yusof, 45, berkata, dia kini berhenti menternak biri-biri selepas haiwan itu mati dibaham anjing liar berulang kali.

“Lapan ekor kambing biri-biri saya mati sekali gus dalam satu masa menyebabkan saya kerugian RM8,000.

Antara kambing peliharaan Masykuri yang mati akibat dibaham anjing liar.
Antara kambing peliharaan Masykuri yang mati akibat dibaham anjing liar.

“Kejadian berlaku dua tahun lepas. Selepas itu seekor demi seekor kambing biri-biri peliharaan saya menjadi sasaran anjing-anjing liar ini menyebabkan saya terus mengalah dan berhenti memelihara kambing tersebut.

“Saya sendiri tak pasti mengapa kambing biri-biri menjadi sasaran mungkin rasa dagingnya lebih sedap,” ujarnya.

Menurut Azmi, selain kambing biri-biri banyak lagi ternakannya yang lain menjadi mangsa anjing liar antaranya ayam, angsa dan itik.

Seorang lagi penternak, Adam Kassim, 65, berkata, kumpulan anjing liar itu akan aktif memburu selepas jam 12 tengah malam.

“Boleh dikatakan setiap malam berlaku serangan anjing liar ini. Jam 12 tengah malam anjing ini akan mencari mangsa.

“Waktu siang kebanyakan anjing ini duduk dalam semak dan kebun kelapa sawit. Haiwan ini juga akan bergerak secara berkumpulan, terdapat dalam lapan hingga sembilan ekor dalam satu kumpulan.

“Secara keseluruhan terdapat kira-kira 30 ekor anjing liar yang berkeliaran di kawasan ini,” jelasnya.

Wan Muhammad Suhaidin, 43, pula berkata, pada peringkat awal, jumlah anjing liar di kawasan itu beberapa ekor sahaja, namun pembiakannya yang cepat menyebabkan jumlahnya bertambah.

“Bukan hanya itik, ayam dan kambing tetapi anak lembu dan anak kerbau yang baru lahir juga menjadi mangsa anjing ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan haiwan itu kekurangan sumber makanan sehingga menyerang ternakan lain.

“Kita bimbang, jika semua sumber makanan anjing ini telah habis, tidak mustahil ia akan menyerang manusia terutama kanak-kanak yang berjalan pergi dan balik sekolah,” katanya.

Gesa tindakan segera atasi serangan anjing liar

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut, Shaari A Rahman berkata, peningkatan jumlah anjing liar di kawasan itu membimbangkan dan aduan berhubung masalah itu telah dilaporkan kepada Majlis Daerah Besut (MDB).

"Pihak MDB telah datang ke kawasan itu untuk melihat secara lebih dekat keadaan di situ.

"Beberapa tindakan juga telah diambil seperti memasang perangkap dan sebagainya, namun, masalah itu masih gagal ditangani.

"Anjing-anjing ini hidup secara berkumpulan dan membiak dengan cepat menyebabkan populasinya meningkat dalam tempoh yang singkat," ujarnya.

Tambah Shaari, tindakan diambil pihak MBD bagi memastikan haiwan ternakan dilindungi turut berdepan dengan cabaran antaranya oleh kumpulan 'pencinta haiwan'.

"Golongan pencinta haiwan marah kerana tindakan diambil terhadap seekor anjing liar sedangkan mereka tidak sedar sudah berapa banyak ternakan komuniti di kawasan itu mati diserang anjing liar," kongsinya.

Shaari, Tengku Zaihan
Shaari, Tengku Zaihan

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah itu.

"Pihak berwajib perlu mencari solusi yang berkesan dalam menangani masalah ini kerana kehadiran itu telah menyebabkan pelbagai bentuk gangguan.

"Kita bimbang, jika populasi haiwan ini gagal dikawal, ia akan mendatangkan lebih banyak masalah termasuk mengancam nyawa manusia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!