'Penambahbaikan kamera AwAS tingkat keselamatan awam'

Penggantian kamera AwAS ini melibatkan kamera sedia ada secara berfasa di lokasi yang telah diwartakan. Foto JPJ (Gambar kecil: Teik Hua)
Penggantian kamera AwAS ini melibatkan kamera sedia ada secara berfasa di lokasi yang telah diwartakan. Foto JPJ (Gambar kecil: Teik Hua)
A
A
A

SHAH ALAM - Penambahbaikan pada kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) merupakan pendekatan yang baik dalam mempertingkatkan keselamatan awam dan keberkesanan pemantauan.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, bagaimanapun fungsi tersebut boleh ditambah baik dengan sistem timbang dalam gerakan mudah alih seperti interkom LS630-WIM bagi memantau kenderaan berat yang membawa barangan lebih muatan.

Menurutnya, cadangan penggunaan sistem berkenaan telah dilaksanakan di beberapa negara Eropah yang mempunyai lebih ramai pengguna jalan raya.

“Kaedah kerajaan buat itu bagus kerana dilaksanakan luar kawasan tetapi ia ada had tersendiri.

“Ia kerana kaedah itu bukan 100 peratus mudah alih dan akan dipasang di setiap jalan pada segmen tertentu sahaja.

“Oleh sebab itu, ada cara lain iaitu menggunakan alat pemasangan mudah alih yang boleh dipasang ke mana-mana tempat dengan mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Selasa mengumumkan kamera AwAS dinaik taraf kepada kaedah pemantauan titik ke titik, menggantikan pendekatan statik semasa.

Menurutnya, kaedah baharu itu akan menyediakan pemantauan kelajuan yang lebih komprehensif dengan mengira kelajuan purata antara dua pusat pemeriksaan, menggunakan jarak dan masa perjalanan.

Dalam pada itu, Teik Hua berkata, meskipun kos teknologi berkenaan lebih mahal, namun kerajaan perlu mempertimbangkan alternatif tersebut bagi memudahkan pergerakan anggota penguat kuasa.

“Di atas jalan raya ada banyak kenderaan berat yang mempunyai beban lebihan, jadi ia menyukarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mengesan mereka.

“Sebab itu kaedah pemeriksaan kita mesti dimajukan jika tidak akhirnya masalah ini tetap akan berterusan,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!