107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga dari Wuhan 'dibebaskan'

Dr Dzulkefly ketika sidang akhbar mengenai perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Dr Dzulkefly ketika sidang akhbar mengenai perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari 2020 telah 'dibebaskan' daripada tempoh pemantauan selama 14 hari akibat koronavirus (Covid-19)

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mereka telah dibenar pulang ke rumah masing-masing hari ini kecuali seorang dirawat di hospital akibat masalah kesihatan.

"Kesemua 107 itu termasuk dua beranak yang sebelum ini disahkan positif wabak berkenaan dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, sampel ulangan telah dilakukan dan keputusan menunjukkan negatif.

"Sekurang-kurangnya dua ujian ulangan dilakukan ke atas setiap individu bagi memastikan mereka benar-benar sihat," katanya.

Beliau berkata, keluarga dibenar menjemput ahli keluarga mereka di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

"Mereka sudah bebas. Ahli keluarga boleh datang menjemput," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini Covid-19, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini tiada kes baharu dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Kes positif kekal 22 yang mana 11 daripadanya telah pulih dan dibenarkan pulang manakala 11 yang lain masih menerima rawatan di hospital," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, dua daripada empat rakyat Malaysia penumpang kapal persiaran Diamod Princess yang positif Covid-19 akan terus dirawat di Jepun sehingga sembuh.

"Kita izinkan mereka dirawat di sana. Itu adalah protokolnya sebagaimana di negara ini (merawat warga asing)," katanya.

Kapal yang membawa 455 penumpang itu sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun selepas lebih 400 daripada positif wabak berkenaan.

Mengulas mengenai video tular melibatkan seorang doktor di Klinik Kesihatan Seremban yang tular di media sosial, beliau berkata, semua pihak harus diberi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Tidak wajar untuk saya memberi komen sehingga kes selesai sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan menyalurkan aduan secara rasmi kepada KKM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau terus pejabat kesihatan negeri.

"Saya ingin mengingatkan setiap petugas kesihatan supaya sentiasa profesional ketika bertugas.

"Saya juga ingin menegaskan semua pesakit dan waris perlu berhemah ketika mendapatkan rawatan termasuk memenuhi peraturan serta etika seperti tidak membuat rakaman di dalam bilik rawatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!