Polis terima 182 laporan terhadap Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan 59 individu bagi membantu siasatan berhubung isu buku 'Becoming Hannah: A Personal Journey'.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 182 laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan.
"Setakat ini, seramai 59 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Keterangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh masih belum diambil, belum ada masa ditetapkan untuk merakam keterangan beliau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), empat tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!