Kes Nur Muazara Ulfa: Suami pengasuh didakwa membunuh

No Image Caption
A
A
A
KAJANG - Seorang tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara dua minggu lalu.

Hazmi Majid, 36, yang merupakan suami kepada pengasuh bayi itu hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Dia didakwa membunuh dan menyebabkan kematian bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartment Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi dekat sini, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, 7 Nov lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Isteri tertuduh yang juga pengasuh Nur Muazara Ulfa dilepaskan dengan bon dan akan menjadi saksi pendakwaan bagi kes ini.

Tertuduh dijangka didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini minggu depan atas dua pertuduhan menurut Seksyen 377CA kanun sama kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan dan dubur mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Ibu mangsa pada awalnya dimaklumkan pihak Hospital Serdang bahawa mangsa dihantar ke hospital itu oleh pengasuh dan suaminya selepas pasangan terbabit mendakwa mangsa tercekik epal.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya manakala hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’ dengan tempurung kepala mangsa pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kiri dan kanan kepala mangsa.
Artikel Berkaitan:


Susulan itu, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes kematian menyayat hati bayi tersebut yang mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!