Cubaan lolos dari Maritim gagal

Bot rawa sorong bersama 30kg ikan baja yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pulau Kalumpang, malam tadi.
Bot rawa sorong bersama 30kg ikan baja yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pulau Kalumpang, malam tadi.
A
A
A

KUALA KURAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan dua lelaki tempatan yang cuba meloloskan diri selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pulau Kalumpang, Kuala Sepetang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, seorang tekong dan awak-awak berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, bot rawa sorong dinaiki mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi Sayong dijalankan pada jarak 3.05 batu nautika.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim, bot nelayan berkenaan cuba meloloskan diri tetapi berjaya disekat.

“Pemeriksaan lanjut, terdapat seorang tekong dan seorang awak-awak berada dalam bot berkenaan bersama hasil tangkapan 30kg ikan baja,” katanya.

Beliau berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menangkap ikan tanpa lesen sah.

Menurutnya, pemantauan dan rondaan akan terus ditingkatkan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!