Persatuan emas gesa henti, haram jualan produk perak bersadur emas

Bekas jurujual di sebuah kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah dengan mengambil barang kemas milik majikannya. Gambar hiasan
Bekas jurujual di sebuah kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah dengan mengambil barang kemas milik majikannya. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Emas Malaysia (MGA) menggesa pemberhentian serta-merta dan mengharamkan pengimportan, fabrikasi serta penjualan produk 'perak bersadur emas' dan 'produk bersadur emas serupa' di Malaysia.

MGA dalam satu kenyataan memaklumkan, kemasukan produk sebegitu ke negara ini boleh memberi kesan ketara kepada integriti pasaran logam berharga di Malaysia, menyebabkan kekeliruan harga, menjejaskan permintaan emas sebenar dan keseluruhan dinamik logam berharga.

Menurutnya, perak bersadur emas seringkali disamakan dengan perhiasan emas tulen kerana ketebalan lapisan emas.

"Ia akan menyukarkan pengguna untuk membezakannya daripada emas asli tanpa penilaian profesional. Tanggapan salah ini mewujudkan risiko kerugian kewangan yang mungkin akan dialami pengguna seperti membeli barangan bukan emas asli secara tidak sedar.

"Produk 'perak bersadur emas' juga akan memberikan ancaman dan risiko ketara kepada pajak gadai, pembrokeran serta sektor Ar-Rahnu. Mereka berisiko untuk ditipu seterusnya mengalami kerugian," katanya pada Rabu.

Tambah MGA, berhubung perkara tersebut persatuan telah mengadakan perbincangan khas bersama semua ahli yang terdiri daripada veteran emas dan pemain utama industri.

"Kami telah mencapai persetujuan sebulat suara untuk menolak produk tersebut dan mematuhi sepenuhnya keputusan untuk menghentikan pengeluaran, pengimportan dan penjualan mereka.

"Komitmen ini bertujuan memastikan pengeluar tidak akan menghasilkan produk sedemikian, manakala peruncit tidak akan menjualnya di Malaysia,"ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Presiden MGA, Datuk Wira Louis Ng memberitahu, pihaknya juga mengesa pemain industri seperti pengilang, pengimport, peruncit, pengedar dan agensi penguat kuasa berkaitan untuk mengkategorikan 'perak bersadur emas' dan produk bersadur emas serupa (dengan teras dalam bukan emas) seperti emas palsu dan barang terlarang.

"Diharapkan pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dapat mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk melarang penjualan, dagangan dan tukaran produk-produk palsu ini terutamanya di platform e-dagang,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!