LKIM sedia bantu nelayan ceburi bidang akuakultur

Inisiatif itu bertepatan hasrat kerajaan pastikan industri akuakultur tempatan sumbang 40 peratus bekalan ikan nasional menjelang tahun 2030.

Muhammad Faiz (tiga dari kiri) meninjau projek akuakultur yang dilaksanakan di Pantai Merdeka pada Selasa.
Muhammad Faiz (tiga dari kiri) meninjau projek akuakultur yang dilaksanakan di Pantai Merdeka pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu lebih ramai nelayan menceburi bidang akuakultur dalam usaha meningkatkan hasil laut sekali gus menambah pendapatan golongan itu.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif itu bertepatan hasrat kerajaan untuk memastikan bahawa industri akuakultur tempatan menyumbang 40 peratus daripada bekalan ikan nasional menjelang tahun 2030.

"Contohnya di kawasan Pantai Merdeka adalah bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai, kita ada lebih kurang 1,000 lebih nelayan berdaftar dan kita sasarkan nelayan mempunyai smart partnership (perkongsian pintar) dengan syarikat berkaitan.

"Persatuan boleh mencari nelayan yang sanggup untuk ceburi bidang ini dan kita akan kenal pasti mereka untuk menjadi peserta kepada projek akuakultur di sini bagi menambah pendapatan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak projek sistem penternakan akuakultur pintar (udang putih) di Pantai Merdeka, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, langkah itu juga membantu menstabilkan harga makanan laut berikut bekalan meningkat.

Tambahnya, projek tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara di kawasan tanah milik LKIM seperti di Bukit Malut, Langkawi; Badong, Pahang; Setiu, Terengganu dan lain-lain.

"Saya yakin kalau nelayan berani mereka akan dapat pendapatan lebih dua kali ganda daripada apa yang mereka dapat sekarang sebab sumber laut ini berubah, tidak menentu bergantung kepada keadaan cuaca dan kecukupan sumber pada waktu tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Projek akuakultur ini, ia satu projek yang sistematik dan ada jaminan hasil pengeluaran pada waktu yang telah kita tetapkan, maksudnya dalam setahun boleh keluarkan udang sebanyak empat kali, usaha ini akan membantu nelayan keluar daripada kepompong kemiskinan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!