Percepat proses lupus bom di Pulau Sibuan - Shafie Apdal

Objek dipercayai bom tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di Pulau Sibuan. Gambar kecil: Mohd Shafie Apdal
Objek dipercayai bom tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di Pulau Sibuan. Gambar kecil: Mohd Shafie Apdal
A
A
A

SEMPORNA - Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta pihak berkuasa mengambil tindakan pantas supaya dapat melupuskan objek dipercayai bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di Pulau Sibuan, di sini, bagi memastikan pulau peranginan itu kembali selamat.

Beliau yang mengambil maklum mengenai penutupan sementara pulau yang terletak di Taman Marin Tun Sakaran itu berkata, ia bukan hanya berkaitan dengan isu keselamatan tetapi juga akan memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah.

"Saya menghargai tindakan Taman-Taman Sabah (TTS) untuk melindungi keselamatan orang awam, namun saya menyeru pihak berkuasa untuk bertindak pantas bagi menangani isu ini dan memastikan pulau tersebut kembali selamat.

"Isu ini bukan sahaja melibatkan keselamatan tetapi juga memberi kesan kepada industri pelancongan kita kerana Pulau Sibuan merupakan destinasi terkenal untuk pelancong dan penyelam, dan ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kita tidak mampu kehilangan pengunjung akibat penutupan yang berpanjangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, sektor pelancongan adalah komponen penting dalam ekonomi di daerah itu.

"Ramai rakyat tempatan bergantung kepada industri ini. Saya menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan proses penyiasatan dan pelupusan objek yang disyaki bom ini.

"Selain itu, saya meminta TTS dan agensi lain yang terlibat untuk memberikan garis masa yang jelas dan telus kepada orang awam mengenai bila pulau tersebut boleh dibuka semula.

"Langkah ini akan memberi keyakinan kepada pelancong dan pihak perniagaan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, Semporna terkenal di seluruh dunia dengan keindahan pulaunya serta kekayaan hidupan marin.

"Kita mesti melakukan segala yang termampu untuk melindungi reputasi ini dan menyokong ekonomi tempatan kita," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan penemuan objek seakan-akan bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditimbuni pasir di kawasan perairan Pulau Sibuan iaitu kira-kira 30 hingga 50 meter dari pesisir pantai ketika kerja pembersihan dilakukan di kawasan tersebut.

Susulan penemuan tersebut, pulau berkenaan terpaksa ditutup sementara untuk tindakan dan siasatan pihak polis bagi mengenal pasti objek yang ditemui itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!