PBAPP laksana empat projek WCP 2030 bernilai RM824 juta

PBAPP akan membina sebuah loji rawatan air di EMD untuk mengeluarkan lebih banyak air terawat di Seberang Perai Tengah. Gambar kecil: Pathmanathan
PBAPP akan membina sebuah loji rawatan air di EMD untuk mengeluarkan lebih banyak air terawat di Seberang Perai Tengah. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memulakan empat projek Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bernilai RM824 juta pada tahun ini untuk meningkatkan bekalan air terawat di Pulau Pinang.

Empat projek itu adalah saluran paip air terawat 13.0km x 1.8m baharu dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth, saluran paip air terawat 3.9km x 1.8m baharu dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar, LRA Empangan Mengkuang baharu 114 juta liter sehari (JLH) dan LRA Sungai Kerian baharu 114 JLH.

PETRA telah memanggil tender untuk melantik konsultan kerja-kerja fizikal untuk Projek Air Perak-Pulau Pinang.
PETRA telah memanggil tender untuk melantik konsultan kerja-kerja fizikal untuk Projek Air Perak-Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, sebagai maklum balas kepada peningkatan penggunaan air yang dipacu oleh pertumbuhan sosioekonomi serta perubahan iklim, kerajaan negeri dan PBAPP sedang berusaha untuk mempercepatkan dan melaksanakan projek air bernilai berbilion ringgit untuk Pulau Pinang.

"Pelaburan bagi empat projek WCP 2030 ini dijangka berjumlah RM824 juta iaitu RM128 juta untuk saluran paip air terawat 13.0km x 1.8m baharu dari LRA Sungai Dua ke Butterworth, saluran paip air terawat 3.9km x 1.8m baharu dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar (RM44 juta), RM250 juta untuk LRA Empangan Mengkuang baharu 114 juta liter sehari (JLH) dan RM402 juta untuk LRA Sungai Kerian baharu 114 JLH," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan PBAPP juga bekerjasama dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk melaksanakan dua lagi projek WCP 2030 di Pulau Pinang.

"Dua projek itu adalah LRA Sungai Perai baharu 136 JLH bernilai RM588 juta dan LRA Sungai Muda baharu 114 JLH bernilai RM435 juta.

"PAAB komited untuk menyediakan pembiayaan untuk dua projek ini dengan anggaran nilai RM1.02 bilion. PBAPP akan membayar balik kepada PAAB melalui terma pembiayaan jangka panjang yang menguntungkan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pathmanathan berkata, pada masa yang sama, kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP juga akan berusaha untuk melaksanakan enam projek air Persekutuan di negeri ini.

"Projek-projek itu adalah Rumah Pam Lahar Yooi 440 JLH baharu bernilai RM214 juta (Fasa 2C Projek Pembesaran Empangan Mengkuang), saluran paip dwi-guna 440 JLH baharu yang menghubungkan Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) dan Terusan Sungai Dua serta takungan air pinggiran sungai (TAPS) Sungai Muda.

"Projek seterusnya adalah TAPS Sungai Kerian, kerja-kerja menaik taraf Empangan Bukit Panchor (kini dalam kajian kebolehlaksanaan oleh perunding) dan Baraj Sungai Muda baharu bernilai RM118 juta di Rantau Panjang," katanya.

Beliau menambah, jumlah unjuran pelaburan untuk enam projek Persekutuan itu bernilai antara RM500 juta hingga RM700 juta.

"Rumah Pam Lahar Yooi dan saluran paip dwi-guna 440 JLH mungkin dibiayai oleh dana Persekutuan yang berbaki daripada MDEP.

"Pulau Pinang akan memohon pembiayaan Persekutuan untuk 2 projek TAPS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030)," jelasnya.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, Jabatan Bekalan Air Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengeluarkan kenyataan tender awam pelantikan perunding untuk kerja-kerja fizikal bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju pada dasarnya meluluskan peruntukan RM4 bilion untuk projek pengurusan bekalan air Perak-Pulau Pinang, dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.

Menurut Perdana Menteri, projek itu bagi penyelesaian jangka panjang masalah air di Perak Utara, termasuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!