Terkejut jenazah bapa dalam keadaan lurus, bau wangi
KLANG - Kerja-kerja pemindahan 90 tapak di Tanah Perkuburan Selat Klang bukan sahaja mengundang rasa pilu dalam kalangan waris, namun turut mencetuskan kejutan apabila kain kafan seorang jenazah yang dikebumikan dengan kaki dibengkokkan ditemui dalam keadaan sebaliknya.
Seorang waris, Sofia Mohamad, 57, berkata, jenazah bapa saudara yang dianggap seperti ayah kandung itu tidak dapat meluruskan kaki ketika dikebumikan pada dua tahun lalu akibat sakit tua yang menyebabkan dia terlantar dalam keadaan begitu.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh pekerja dan pihak pengurusan yang membuat kerja-kerja pemindahan tersebut.
"Saya memang tak boleh masuk, tetapi mereka (pekerja dan pengurusan) beritahu yang jenazah ayah (bapa saudara) dalam keadaan lurus. Alhamdulillah dengan kuasa ALLAH SWT.
"Saya terkejut...tak sangka sebenarnya kerana sebelum ini, sudah setahun ayah tak dapat luruskan kaki kerana sakit tua dan dia selesa berbaring sambil lutut dibengkokkan menyebabkan kakinya menjadi keras sehingga hari dia meninggal dunia pada 2022.
"Malah, sejak semalam kami (waris) juga ada terhidu bau wangi yang sangat kuat seperti limau kasturi apabila mereka (pekerja) mengeluarkan beberapa jenazah dari liang lahad untuk dipindahkan ke lot baru," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.
Setakat Rabu, proses pada hari ketiga itu melibatkan pemindahan 70 daripada 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini telah digali dan dipindahkan ke lot baharu bermula sekitar jam 9 pagi bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Difahamkan, tapak perkuburan itu wujud sejak 2022 dengan lapan daripada jumlah tersebut merupakan bayi, selain ditanam kira-kira 20 jenazah dalam satu liang lahad.
Dalam pada itu, seorang lagi waris, Azizah Aziz, 34, meluahkan rasa terkilan berikutan tidak dapat melihat proses tersebut secara langsung berikutan celahan pagar zink telah ditutup pihak berkuasa sejak pagi Rabu.
"Mereka (pihak berkuasa) tutup, sebelum ini kami tengok dari celahan zink sahaja. Kami dah tak dapat nak tengok secara langsung. Mereka cuma tolong kami rakamkan mengikut waris masing-masing.
"Kami bukan mahu mengganggu proses ini tetapi kami tak puas hati tak dapat lihat kerana sebelum ini kata ada proses pengecaman kubur pada 17 Januari nanti sebelum mereka pindahkan.
"Tiba-tiba kami dapat tahu mereka sudah mula pindahkan (jenazah) tiga hari lepas (Isnin). Mereka cuma tampal notis sahaja, kami tak percaya notis kerana sudah beberapa kali tarikh untuk memulakan kerja-kerja ini ditangguhkan," ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati proses menggali yang turut disertai beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kontraktor terlibat berjalan dengan lancar, malah lebih terkawal berbanding hari pertama kerja-kerja terbabit dilakukan.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 Julai 2023 dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Oktober tahun lalu telah menimbang dengan teliti dan meluluskan Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran ECRL itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!