Keputusan rayuan Peter Anthony kes palsu dokumen 7 Februari

Peter Anthony. Foto Bernama
Peter Anthony. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi kes memalsukan dokumen kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Mahkamah Rayuan di sini, ditangguhkan ke 7 Februari depan.

Peguam, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter, berkata, timbalan pendaftar menetapkan tarikh itu menerusi surat pada Selasa.

Ketika dihubungi media, beliau berkata, keputusan rayuan Peter, 54, sepatutnya diputuskan pada Khamis, namun ditangguhkan ke bulan hadapan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara terbabit.

Ini merupakan penangguhan kali kedua yang mana sebelum ini ia ditetapkan pada 27 November 2024 namun ke 9 Januari 2025.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu telah membayar denda.

Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.

Artikel Berkaitan:

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!