Pemilik syarikat mengaku tidak bersalah guna sijil eFEiS palsu

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan sijil eFEiS palsu sebagai tulen, bulan lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan sijil eFEiS palsu sebagai tulen, bulan lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas empat pertuduhan menggunakan sijil electronic fire extinguisher inspection system (eFEiS) alat pemadan api palsu sebagai tulen, bulan lalu.

Sha Arifin Mohammad Jamal, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, bapa seorang anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen tiga dokumen iaitu sijil eFEiS alat pemadam api dengan tiga nombor siri berbeza yang mana tertuduh mempunyai sebab bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Lorong Lagenda 8, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang jam lebih kurang 3.42 petang pada 31 Disember 2024.

Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil eFEiS alat pemadam api dengan satu nombor siri palsu di sebuah pusat hiburan di Lorong Lagenda 1, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang jam lebih kurang 1.45 petang pada 31 Disember 2024.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan keempat.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan memohon jaminan dikurangkan atas alasan jumlah jaminan ditawarkan pendakwaan adalah di luar kemampuan selain bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dan RM2,500 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 12 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada Selasa media melaporkan, polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan pelekat eFEiS dengan menahan 10 suspek dalam serbuan di Bagan Datuk dan Cheras, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Kegiatan itu dikesan selepas polis menerima laporan berhubung tindakan dua lelaki menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dengan harga RM100 bagi setiap alat pemadam api pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan pihak bomba mendapati pelekat eFEIS pada alat tersebut adalah palsu dan tiada dalam rekod sistem.

Semakan juga mendapati syarikat tersebut tidak dilantik dan berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk kerja-kerja penyelenggaraan alat pemadam api.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!