PeSAWAH bantah penurunan harga padi semasa
ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah sekeras-kerasnya penurunan harga belian padi harga semasa RM1,500 hingga RM1,800 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) baru-baru ini adalah tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.
Beliau berpandangan, harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan pada tahun 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan.
"Pelbagai kos telah melambung tinggi sepanjang tempoh tersebut termasuk kos benih padi, kos membajak dan menuai,kos sewa tanah, kos racun kimia dan kos upah penyelenggaraan sawah,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Abdul Rashid menjelaskan, kos benih padi naik dua kali sejak 2023 dan kini mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) daripada RM45 pada 2023.
"Kos membajak dan menuai pula meningkat ekoran penghapusan subsidi diesel hingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi," katanya.
Beliau menambah, kos sewa tanah turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini,kos racun pula melambung tinggi hingga hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu.
Katanya, kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja juga turut meningkat.
Lebih mendukacitakan, Abdul Rashid berkata, permasalahan utama dihadapi pesawah iaitu harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kg sejak tahun 2014 tidak pernah diambil perhatian serius.
"Jadi, sudah tibanya rakyat Malaysia menerima harga beras baru yang lebih relevan iaitu RM3.60 per kg bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi dan mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PeSAWAH kesal apabila perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh pihak kementerian bersama para pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.
Menurut Abdul Rashid, tindakan ini jelas menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri.
Sehubungan itu, katanya, PeSAWAH menuntut agar kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira beberapa faktor-faktor.
"Antara faktor itu, kenaikan kos pengeluaran padi yang mendadak,pendapatan dan kebajikan pesawah serta harga beras tempatan yang realistik," katanya.
Menurutnya, pihak kementerian mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 per beg dan kos-kos lain, sekiranya masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 sekilogram dan menurunkan harga padi kepada RM1300 per tan.
"PeSAWAH juga menggesa agar kerajaan melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi pada masa hadapan.
"Kegagalan berbuat demikian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan industri padi negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!