JPPKK terima peruntukan pembangunan RM431 juta

Mohamad Azhan (tiga dari kanan) menyerahkan Surat Permakluman projek RMK12 RP5 tahun 2025 kepada Mohd Zahari.
Mohamad Azhan (tiga dari kanan) menyerahkan Surat Permakluman projek RMK12 RP5 tahun 2025 kepada Mohd Zahari.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM431,978,800 daripada kerajaan bagi pelaksanaan 70 projek sambungan dan 41 projek baharu tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Mohamad Azhan Md Amir berkata, peruntukan di bawah Belanjawan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) itu adalah lebih tinggi yang diterima institusi berkenaan berbanding tahun sebelumnya.

"Ia antaranya melibatkan projek-projek pembangunan kampus baharu, perolehan tanah bagi kampus baharu dan perolehan peralatan baharu.

"Selain itu ia turut melibatkan penggantian peralatan akademik usang, pembinaan tambahan bangunan, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan bangunan, pembangunan program serta pembangunan digital," katanya.

Mohamad Azhan (tengah) pada sidang akhbar diadakan
selepas Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Projek RMK12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan Peluncuran Rancangan Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 10 Tahun (2026-2035) di Politeknik Port Dickson.
Mohamad Azhan (tengah) pada sidang akhbar diadakan selepas Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Projek RMK12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan Peluncuran Rancangan Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 10 Tahun (2026-2035) di Politeknik Port Dickson.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Projek RMK12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025 dan Peluncuran Rancangan Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 10 Tahun(2026-2035) di Politeknik Port Dickson di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM41.6 juta diperuntukkan untuk projek menaik taraf infrastruktur usang.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak terpinggir, sebanyak RM5juta diperuntukkan untuk infrastruktur golongan berkenaan.

"Pelaksanaan projek-projek berkenaan dijangka dapat menyokong aspirasi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara seperti yang digariskan dalam Dasar TVET Negara serta Hala Tuju Transformasi Politeknik dan Pemerkasaan Kolej Komuniti," katanya.

Sementara itu katanya, peluncuran Pembangunan POLYCC 10 Tahun bertujuan memberikan hala tuju strategik dalam memperkukuh peranan institusi itu dalam ekosistem TVET negara, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir negara.

Jelasnya, ia adalah langkah penting untuk menjadikan politeknik dan kolej komuniti sebagai pusat kecemerlangan TVET bertaraf dunia melalui Rancangan Utama iaitu '9 Big Plans'.

"Fokus 9 big plans ini merangkumi perancangan holistik secara sistematik yang memberi fokus kepada pembangunan program TVET yang mampan, penyediaan ruang-ruang baharu yang kondusif dan perolehan peralatan yang menyokong perkembangan teknologi terkini.

"Selain itu untuk pembangunan kompetensi pensyarah serta menyediakan platform yang tersusun dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan bagi menyokong pembangunan ekonomi mampan tanpa memberi kesan negatif kepada kesihatan bumi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!