'Saya tercampak lepas langgar penutup lurang kabel terjongket'
SABAK BERNAM - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar lurang kabel dipercayai milik sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Sekendi, Batu 37 Darat berdekatan Taman Air Manis di sini pada Selasa.
Mangsa, Zizi Azmi Zainal Azami, 39, mengalami kecederaan di kedua belah tangan, bahu, jari dan lutut kanan akibat kejadian itu.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu berlaku sewaktu dia dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Muhibbah ke tempat kerjanya di sebuah pusat mencuci kenderaan di Bagan Nakhoda Omar.
"Saya memang tidak perasan penutup lubang itu telah terkeluar dalam keadaan terjongket.
"Semasa melanggar penutup lubang itu, saya tercampak dan terjatuh tiga meter dari tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Zizi Azmi, akibat insiden itu, motosikal jenis Yamaha Lagenda 110 miliknya mengalami kerosakan teruk.
"Saya bekerja sambilan dan sering berulang-alik ke tempat kerja sejak sebulan lalu, namun tidak perasan terdapat lurang kabel di tepi jalan ini.
"Saya syukur sebab masih bernyawa dan tidak dilanggar kenderaan dari arah belakang semasa terjatuh.
"Selepas terjatuh daripada motosikal, saya cepat-cepat bangun semula walaupun ketika itu seluruh badan terasa sakit," ujarnya.
Jelasnya, akibat kecederaan dialaminya itu, dia terus mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.
"Saya akan membuat laporan polis selepas ini dan mengemukakan tuntutan kepada syarikat telekomunikasi bertanggungjawab," katanya.
Seorang penduduk, Khairi Jamil, 50, mendesak syarikat telekomunikasi itu mengambil tindakan segera terhadap masalah lurang kabel terjongket kerana ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Khairi, masalah itu dikesan berlaku sejak dua tahun lalu selepas dia berpindah ke kawasan tersebut.
"Kejadian ini kali ketiga dalam tempoh dua tahun dan kita tidak mahu ada nyawa terkorban akibat ketiadaan penyelenggaraan.
"Dua kejadian sebelum ini turut membabitkan penunggang motosikal, namun ia berlaku pada waktu malam disebabkan laluan gelap akibat tiada lampu jalan," jelasnya.
Katanya, masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada pihak pimpinan masyarakat setempat, namun tiada tindakan yang diambil bagi kerja-kerja baik pulih.
"Saya merayu supaya pihak bertanggungjawab segera tangani isu ini bagi mengelakkan lebih ramai lagi mangsa kemalangan.
"Jangan tunggu ada kes maut baru hendak ambil tindakan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!