Lelaki mengaku tak bersalah lakukan sumbang mahram anak tiri
KUALA PILAH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap seorang anak perempuan tirinya pada 2019 dan 2024.
Tertuduh, 45, yang tidak diwakili peguam itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuan tirinya yang berumur 16 dan 21 tahun semasa kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan pada pertengahan tahun 2019, pertengahan November dan 6 Disember 2024 di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah dan sebuah bilik sewa.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa dan tertuduh tinggal di alamat sama.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!