Tulisan jawi: MDN gesa suntikan dana kerajaan

Mahmood Zuhdi (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pemandu Memperkasa Tulisan Jawi semasa Pembentangan Resolusi Perkasa Tulisan Jawi oleh MDN di sini hari ini.
Mahmood Zuhdi (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pemandu Memperkasa Tulisan Jawi semasa Pembentangan Resolusi Perkasa Tulisan Jawi oleh MDN di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa kerajaan memberi sokongan dalam bentuk suntikan dana untuk memastikan tulisan jawi terus dapat dimartabatkan di negara ini.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, terdapat segelintir pihak yang mempunyai kuasa di negara ini 'kedekut' untuk menghulurkan sumbangan jika pihak yang mencari dana tersebut adalah golongan yang tidak berkepentingan dengan politik.

"MDN mempunyai ahli yang ramai, berkedudukan, berimej baik dan bersemangat juang yang tinggi dalam memartabatkan tulisan jawi tetapi jika tanpa suntikan dana kerajaan, ia akan gagal.

"Kalau tidak mendapat dana daripada kerajaan kita terpaksalah turun mencari dana rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Pembentangan Resolusi Perkasa Tulisan Jawi oleh MDN di sini hari ini yang turut dihadiri bekas Ketua Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sallehuddin Abg Shokeran, Prof Emeritus Datuk Dr Baharudin Yatim dan Setiausaha Agung MDN, Dr Mohd Fauzie Shaffie.

Sebelum itu, hampir 60 perwakilan daripada Jabatan Agama Islam Negeri dan wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghadiri Pembentangan Resolusi Perkasa Tulisan Jawi oleh MDN.

Menurut Mahmood Zuhdi, MDN sedia menggerakkan perjuangan itu namun usaha tersebut tidak akan berjaya sekiranya kerajaan gagal memberi bantuan yang diperlukan.

"Itu penyakit kita dan melalui pengamatan saya pihak kementerian dan jabatan 'takut' kepada orang politik dan keadaan ini perlu diubah.

"Apabila anda mempunyai kaitan yang rapat dengan orang politik maka anda akan diberi perhatian tapi kalau anda tidak ada kaitan politik ertinya mesti ada broker politik baru dana diberikan. Itu yang terjadi dalam masyarakat Melayu di negara kita ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perjuangan untuk memperkasakan tulisan jawi dalam negara ini akan gagal sekiranya tabiat sebegini masih dikekalkan dan akan jadilah perjuangan itu sekadar perbalahan orang-orang politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!