VM 2026: Kenapa tiada masjid, soal Radzi Jidin

Tangkap layar Facebook Radzi pada Rabu.
Tangkap layar Facebook Radzi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang tidak memaparkan keindahan seni bina masjid di negara ini.

Beliau berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing perlu tampil menjelaskan perkara tersebut ekoran rumah ibadat bagi agama lain seperti Batu Caves dan gereja turut terkandung dalam video berkenaan.

"Sudah tengok montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026? Ada yang tanya saya kenapa tak ada masjid dalam video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Rumah ibadat yang lain ada dan Menteri Pelancongan (King Sing) kena jawab," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Berdasarkan video berdurasi 41 saat yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia, montaj tersebut memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka.

Sebagai rekod, Majlis Pelancaran VM 2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada Isnin lalu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beruang matahari dipilih sebagai ikon dan maskot bagi kempen berkenaan kerana ia merupakan spesis beruang terkecil di dunia dan merupakan spesies yang unik serta asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Selain itu media turut melaporkan, Tourism Malaysia optimis kempen VM 2026 mampu mencapai sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong tahun depan sekali gus merancakkan sektor pelancongan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!