[VIDEO] Pemandu bas parah, nahas libatkan 8 kenderaan termasuk lori
ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres cedera parah akibat tersepit, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) berhampiran persimpangan Pusat Simpanan Kenderaan Berat Gangsa, di sini, pada pagi Rabu.
Kejadian jam 10.38 pagi itu, melibatkan seramai 15 mangsa terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita melibatkan 24 anggota dan pegawai dari tiga balai termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jasin Bestari.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz, berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas, dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori, kereta Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan(SUV) Honda HRV.
"Berdasarkan maklumat terdapat 15 orang mangsa dan seorang daripada mereka parah iaitu pemandu bas.
"Manakala lapan lagi cedera ringan dan enam selamat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dengan kenderaan EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat dan juga ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, seorang mangsa kemalangan yang juga pemandu lori tanah, Ahmad Tarmizi Maan, 33, berkata, dia bersyukur terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu selain tiada kemalangan jiwa dilaporkan
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika dia sedang berhenti di simpang tiga berkenaan, ketika lampu isyarat merah.
"Namun tiba-tiba terkejut mendengar dentuman kuat dari arah belakang sebelum mendapati sebuah lori muatan kotak melanggar bahagian belakang kenderaan lain.
"Beberapa saat kemudian, lori berkenaan pula dilanggar beberapa lagi kenderaan termasuk sebuah bas menyebabkan pemandunya tersepit," katanya.
Ujarnya, turut membantu pemandu lori terbabit yang mengerang kesakitan sementara menunggu bantuan bomba, polis dan KKM.
"Saya terus ambil spanar untuk membuka stering lori bagi beri sedikit kelegaan kepada mangsa dan beberapa orang awam di tempat kejadian turut membantu menyelamatkan mangsa lain," katanya yang menetap di Gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!