Dua individu berkait GISBH kemuka representasi gugur kes

Mohammad Nazif hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu bagi sebutan semula kes memiliki buku berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, tahun lalu.
Mohammad Nazif hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu bagi sebutan semula kes memiliki buku berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang didakwa atas satu pertuduhan memiliki buku berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau ‘Abuya’ memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa mereka akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan kes tersebut.

Peguam, Boestamam Ahmad yang mewakili dua tertuduh, suri rumah, Aishah Bula Tajudin, 61, dan usahawan Ekhwan Catering, Mohammad Nazif Jamluddin, 50, memaklumkan demikian ketika prosiding di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret, S Mageswary dan Farah Nabihah Muhammad Dan.

Semasa prosiding di hadapan Mageswary, peguam itu berkata, pembelaan baru sahaja menerima dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan.

“Saya juga telah mendapat arahan daripada anak guam, untuk mengemukakan permohonan itu dalam masa terdekat.

“Mohammad Nazif merupakan seorang tukang masak yang membuat katering di lokasi kejadian dan ia akan dijelaskan dalam permohonan itu kepada AGC,” katanya.

Sementara di hadapan Farah Nabihah, peguam ini memohon maaf kerana Aishah tidak dapat hadir ke mahkamah kerana suami tertuduh meninggal dunia tiga minggu lalu.

“Kehilangan suami yang merupakan penanggung tunggal keluarga, menyebabkan anak guam saya mengalami tekanan yang serius.

“Saya mohon dia dikecualikan kehadiran pada hari ini dan sebutan kes akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan berkenaan, mahkamah membenarkan pengecualian kehadiran bagi Aishah dalam prosiding bulan depan.

Prosiding sebutan kes untuk mengetahui status permohonan representasi di kedua-dua mahkamah, ditetapkan pada 19 Februari depan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latif dan Amritpreet Kaur Randhawa.

Pada 28 Oktober 2024 lalu, Mohammad Nazif mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki dua buku berkaitan Al-Arqam.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada 11 anak itu didakwa atas pertuduhan berkenaan membabitkan penerbitan bertajuk ‘Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang’ dan ‘Meruntuh Berhala di Tiongkok’.

Kesalahan didakwa dilakukan di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di sini, pada jam 10.30 pagi, 21 September 2024.

Sementara Aishah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki 38 hasil penerbitan larangan tanpa sebab yang munasabah, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala di sini pada jam 11.30 pagi, 21 September 2024.

Antara buku tersebut ialah ‘Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi, Siri Terkini Era Kasih Sayang Abuya Pemimpin Kasih Sayang dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!