Polis tahan pemandu lori bawa pelbagai jenis burung, ayam hutan
LIPIS - Seorang pemandu lori ditahan selepas dikesan membawa 494 haiwan hidup terdiri daripada unggas dan mamalia kecil iaitu spesies haiwan dilindungi tanpa permit dalam sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 7, Jalan Lipis-Benta di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, antara yang dirampas membabitkan pelbagai jenis burung dan ayam hutan.
Menurutnya, dalam sekatan jalan kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 27 tahun yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Shah Alam, Selangor.
"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati lori tersebut membawa muatan haiwan hidup yang disyaki spesies dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati haiwan-haiwan tersebut dibawa tanpa permit dan kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Jelas beliau, pemandu lori telah mengambil pelbagai spesies haiwan tersebut di lokasi berasingan.
Tambahnya, suspek bersama lori dan semua haiwan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk tindakan lanjut.
"Sebanyak 494 haiwan, 228 bakul, lori, satu gugusan kunci dan sebuah telefon bimbit dirampas dan kes dalam siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!