Dua beradik maut nahas motosikal, MPV
IPOH - Dua beradik maut apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berhampiran persimpangan lampu isyarat, Jalan Pasir Puteh di sini pada Rabu.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Nur Amira Balqis Armi, 22, menunggang motosikal untuk menghantar adiknya, Mohd Amirul, 14, ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet di sini.
Insiden itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How menerusi akaun Facebooknya.
"Kemalangan maut di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah-Jalan Pasir Puteh yang telah mengakibatkan kematian dua orang mangsa yang juga merupakan adik-beradik.
"Takziah diucapkan kepada keluarga dan pihak saya akan membantu bagi urusan pengurusan jenazah mangsa yang terlibat bagi meringankan beban keluarga mangsa," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi memaklumkan akan membuat semakan berhubung kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!