RM1.4 juta naik taraf jalan, longkang Kampung Baru Cina di Kelantan
KOTA BHARU - Lapan projek naik taraf kemudahan asas dan infrastruktur bernilai RM1.4 juta dilaksanakan di Kampung Baru Cina di negeri ini tahun lalu.
Pegawai Kemajuan Perkampungan (Bahagian Kampung Baru Cina) negeri Kelantan, Puan Yong Kian berkata, projek-projek membabitkan pembaiki jalan dan longkang di lapan kampung di dua daerah iaitu Kota Bharu serta Pasir Puteh.
“Tahun lepas, pihak kami membaik pulih jalan dan longkang di lima kampung di Kota Bharu iaitu Kampung Cina, Kampung Tokong, Kampung Aur Duri, Kampung Teluk Kandis dan Kampung Chepa.
“Tiga lagi kampung ialah Semerak, Seligi dan Selising di Pasir Puteh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kebun Sultan di sini pada Rabu.
Yong Kian sebelum itu hadir di sidang akhbar yang diadakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkait perlaksanaan syarat persijilan halal di Kelantan.
Yong Kian berkata, pihaknya di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan projek dengan semangat Madani yang selari dengan pendekatan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Projek-projek menaik taraf jalan itu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada pengguna di Kampung Baru Cina manakala projek membaiki longkang pula dibuat bagi mengurangkan masalah banjir yang dihadapi mereka pada musim tengkujuh,” katanya.
Dalam pada itu, Chean Chung juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberitahu, jumlah peruntukkan tahunan Persekutuan kepada Kelantan tahun ini meningkat kepada RM532 juta berbanding RM524 juta tahun lalu.
Selain itu, projek pembangunan Persekutuan di negeri ini tahun lalu berjumlah 425 projek dengan nilai RM2.8 bilion juga meningkat kepada 461 projek bernilai RM3.2 bilion tahun ini.
“Pembangunan dan projek-projek dilaksanakan demi keperluan dan kebajikan rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” kata Chean Chung.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani pada Oktober lalu memberitahu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM84 juta kepada Kampung Baru Cina untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!