Titah Adendum: Nizar akui dapat nasihat, pandangan Wan Rosdy

Mohamad Nizar bersama Wan Rosdy. Foto FB Nizar Najib N11
Mohamad Nizar bersama Wan Rosdy. Foto FB Nizar Najib N11
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib mengakui sering merujuk kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai isu Titah Adendum yang melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu didedahkan anak sulung bekas Perdana Menteri tersebut dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Rabu.

Dalam hantaran berkenaan, Mohamad Nizar merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden UMNO dan Pengerusi UMNO Pahang itu.

"Tidak ramai yang tahu, saya sentiasa berhubung dengan YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar, memohon nasihat dan pandangan sepanjang Titah Adendum ini berlangsung.

"Beliau banyak memberi dorongan dan nasihat sepanjang saya dan keluarga perjuangkan perkara ini bagi pihak ayahanda," tulisnya.

Tambah Nizar, selain usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memfailkan afidavit Titah Adendum, Wan Rosdy juga mengambil risiko peribadi untuk mengesahkan pada awalnya kewujudan titah tersebut dan tahanan rumah melalui afidavit yang difailkan di mahkamah.

"Tanpa pengesahan awal ini, orang ramai tidak tahu akan kewujudan titah tersebut dan ramai tidak tahu.

"Terima kasih tak terhingga Datuk Seri Diraja Menteri Besar. Saya dengan ikhlas selalu mendoakan agar Datuk Seri Diraja diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin kami di pentadbiran negeri Pahang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad Nizar turut bersyukur di atas keputusan 2-1 di Mahkamah Rayuan yang memihak kepada bapanya.

"Dengan keputusan ini, beliau mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah," katanya lagi.

Pada Isnin, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!