Rasuah Busters, CSO teliti reformasi negara
SHAH ALAM - Rasuah Busters terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan Komas dengan merangka gerak kerja aktiviti sepanjang 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin berkata, antara perkara yang akan dilaksanakan ialah melibatkan inisiatif perubahan institusi negara yang penting untuk memperkasakan sistem perundangan di Malaysia.
Beliau turut menegaskan usaha berkenaan selaras dengan tujuan penubuhan Rasuah Busters dalam memastikan reformasi institusi yang lebih telus dan bebas daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya percaya ini adalah satu kelebihan untuk kedua-dua pihak supaya kerjasama yang terjalin menjadi lebih luas dan dapat menyampaikan kepada masyarakat tentang kepentingan perubahan atau reformasi insitusi dalam negara.
“Ini juga adalah tanggungjawab yang dipikul oleh Rasuah Busters dan rakan-rakan gabungan supaya perubahan negara benar-benar berlaku serta bebas daripada rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, perbincangan bersama rakan gabungan tidak hanya tertumpu agenda reformasi institusi tetapi turut melibatkan pelbagai perkara lain seperti soal kemanusiaan.
Sementara itu, Pengurus Operasi dan Kewangan CSO (Hak Asasi Manusia), Faribel Maglin Fernandez menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak diharap dapat memperjuangkan isu-isu melibatkan perubahan dalam negara.
“Harapan saya jalinan kerjasama ini berpanjangan. Masalah yang melibatkan reformasi institusi bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun sahaja.
“Kita perlu membina hubungan yang kukuh untuk memastikan perubahan yang menyeluruh,” ujarnya.
Tambahnya, antara perkara lain yang dibangkitkan ialah melibatkan hak Orang Asli serta masyarakat di Sabah dan Sarawak yang sering kali berhadapan dengan masalah pemilikan tanah serta pencerobohan.
Faribel menegaskan, pihaknya bukan menentang pembangunan tetapi hanya mahu pembangunan yang lebih lestari dan tidak merugikan komuniti-komuniti yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!